Gelombang Covid-19 musim panas?
LONDON - Covid-19 kembali menjadi topik utama perbincangan di beberapa negara termasuk Britain susulan lonjakan semula kes.
Ada pihak menggelar ia sebagai 'gelombang Covid-19 musim panas' memandangkan ramai orang di sekeliling mula diserang simptom sama seperti fasa awal pandemik sebelum ini.
Berdasarkan situasi lebih tiga tahun lalu, jangkitan virus itu biasanya melonjak ketika musim panas dan tahun 2024 juga tidak terkecuali meskipun pakar menjangkakan gelombang pada kali ini adalah lebih 'ringan'.
Adakah terdapat kemunculan varian baharu lagi yang perlu dikhuatiri orang ramai atau berlaku peningkatan kes yang luar biasa pada masa ini?
Ia tidak mustahil, namun sukar untuk dipastikan berikutan hanya sejumlah kecil individu dimasukkan ke hospital kerana Covid-19.
Pada 16 Jun lalu, angka itu meningkat sebanyak 3.31 kemasukan untuk setiap 100,000 individu berbanding 2.67 pada minggu sebelumnya dan golongan paling ramai menyumbang kepada jumlah itu adalah mereka yang berusia 85 tahun ke atas.
Kelonggaran diberikan pemerintah mengakibatkan sukar untuk memperoleh data tepat mengenai jumlah individu didiagnos positif dan menjalani kuarantin.
Keadaan itu menyebabkan banyak kes dalam kalangan populasi umum tidak lagi direkodkan dan hanya bergantung kepada keputusan ujian makmal melibatkan mereka yang melakukan ujian saringan di pusat kesihatan.
Data pada 26 Jun lalu menunjukkan terdapat 4.37 kes Covid-19 untuk setiap 100,000 individu yang dimasukkan ke hospital di England yang bermakna satu daripada 25,000 kemasukan ke hospital disahkan positif pada hari tersebut.
Angka itu dilihat masih kecil berbanding ketika pandemik itu bermula lebih tiga tahun lalu selain kadar kes yang naik dan turun sepanjang tahun.
Pakar epidemiologi, Profesor Paul Hunter dari University of East Anglia menerusi wawancara BBC berkata, beliau tidak percaya kadar semasa Covid-19 adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan.
“Kita akan melihat keadaan sama seperti tahun lalu dan kenaikan kes pada waktu tertentu. Kita juga melihat sedikit jumlah kematian dan mereka yang dimasukkan ke hospital berbanding 2023,” katanya.
MUNCUL VARIAN BAHARU LAGI?
Sejak beberapa bulan lalu, pakar telah mengenal pasti kemunculan kumpulan varian baharu digelar FLiRT, berasal daripada JN.1 yang dominan dan subvarian strain Omicron.
FLiRT menyumbang banyak kes di England manakala sejumlah kecil varian KP.3 iaitu salah satu strain di bawah kumpulan sama yang mengakibatkan lonjakan kes jangkitan di Amerika Syarikat (AS) turut dikesan di Britain.
Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) memaklumkan ia memerlukan lebih banyak data tentang varian baharu itu untuk memahami tahap keterukan dan potensi ia merebak dengan cepat.
“Sukar untuk mengesahkan jika varian tesebut menyebabkan peningkatan kecil dalam jumlah pesakit dimasukkan ke hospital.
“Kami akan terus mengawasi strain tersebut di Britain dan peringkat antarabangsa serta mendapatkan lebih banyak maklumat tentang sejauh mana vaksin berupaya melindungi daripada varian itu.
“Tiada perubahan dalam nasihat kesihatan awam buat masa ini kerana ancamannya kekal rendah,” tambah UKHSA lagi.
Menurutnya, perubahan dan mutasi virus adalah perkara biasa dan sistem jagaan kesihatan di London cuba untuk menangani 'turun naik' kes jangkitan terutamanya ketika musim panas.
“Semua individu berpotensi mendapat jangkitan berulang. Secara umumnya, apa yang kita lihat sekarang ialah tahap keterukan penyakit yang ada kaitan dengan Covid-19 telah menurun secara ketara.
“Akhirnya, masyarakat akan menganggap ia sebagai satu lagi punca demam biasa. Sejujurnya, anda tidak boleh mengelakkannya kerana ia sudah menjadi 'normal baharu' pada masa ini,” jelas Hunter. - Agensi
INFO:
> 39 negeri di AS merekodkan lonjakan kes Covid-19 pada bulan lalu. KP.2 menjadi varian dominan pada Mei lalu dan 'diambil alih' oleh KP.3 pada awal Jun. Varian ketiga dengan mutasi utama yang sama, KP.1.1 yang turut digelar sebagai FLiRT pula menyumbang kira-kira 63 peratus kes jangkitan di negara itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!