Tuai lebih satu tan kangkung hidroponik sebulan
BESUT - Kegigihan dua sahabat mengusahakan tanah terbiar dengan menanam kangkung secara hidroponik membuahkan hasil apabila berjaya menuai lebih satu tan sayuran itu dalam tempoh sebulan.
Muhammad Syafiq Madzlan, 29, berkata, dia dan Zulfitri Ahmad, 27, memulakan tanaman di atas tanah seluas 0.2 hektar bagi memperoleh pendapatan sampingan dengan berkongsi modal sebanyak RM35,000.
Menurutnya, mereka tidak menyangka hasil tanaman itu mendapat sambutan hangat kerana ia dilakukan sekadar mengisi waktu terluang.
"Saya bersama Zulfitri memulakan tanaman ini sejak Januari lalu. Waktu tu kami mula merancang menanam kangkung secara hidroponik bagi mencari sumber pendapatan sampingan di samping mengisi masa lapang.
"Kami tak sangka usaha ini membuahkan hasil yang memberangsangkan sehingga mampu meraih pendapatan kira-kira RM4,000 dalam tempoh sebulan," katanya ketika ditemui di Kampung Gong Kepas di sini, baru-baru ini.
Muhammad Syafiq yang bekerja sebagai 'freelance' di sebuah syarikat swasta berkata, setakat ini jumlah kangkung yang dituai dalam tempoh seminggu mencecah 300 kilogram (kg) dan dijual pada harga RM5 setiap sekilogram bagi jualan runcit.
"Dalam masa seminggu kita akan tuai dan jual kangkung ini sebanyak tiga kali, tetapi jumlah itu sebenarnya masih belum mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan.
"Pelanggan tetap kita yang sentiasa mendapatkan bekalan kangkung ini adalah dalam kalangan pengusaha kantin dan restoran.
"Disebabkan kangkung ini mendapat permintaan tinggi setiap hari, kami terpaksa menghadkan pembelian bagi setiap pelanggan,"ujarnya.
Sementara itu, Zulfitri berkata, mereka menggunakan kaedah pertanian moden dengan menggunakan sistem hidroponik dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk tanaman kangkung yang juga digelar 'sayur longkang' itu.
"Kaedah ini ia dapat mengawal dan memantau bagi memastikan sistem pengairan di sepanjang kawasan tanaman tersebut berjalan dengan lancar.
"Dengan kecanggihan teknologi kini juga, kualiti pertanian tanaman 'sayur longkang' ini lebih terjamin dan kaedah tanamannya juga lebih mudah serta tidak menggunakan tenaga yang lebih," katanya.
Menurut Zulfitri, mereka kini sedang merancang untuk meluaskan kaedah tanaman secara hidroponik itu dengan pelbagai tanaman kontan lain termasuk sawi.
"Selepas ini kami berhasrat untuk mengusahakan tanaman sayuran lain yang sesuai menggunakan kaedah hidroponik.
"Kami juga berhasrat suatu hari nanti dapat menjadi salah satu pembekal sayur-sayuran ini untuk memenuhi pasaran dalam negara," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!