Jelajah TV PSS Sinar Bestari sarat ilmu tambahan

Jelajah TV PSS @ Negeri Sembilan mendapat sambutan hangat. Gambar kecil: Roslan
Jelajah TV PSS @ Negeri Sembilan mendapat sambutan hangat. Gambar kecil: Roslan
A
A
A

SEREMBAN - Program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari 2024, dilihat membantu dalam mencungkil kreativiti pelajar sekolah.

Program itu juga menjadi platform buat para pelajar menonjolkan kemahiran komunikasi, kolaboratif dan pemikiran kreatif.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin berkata, program yang berlangsung selama hampir satu hari itu sangat bermakna kerana pelajar dapat menimba ilmu pengetahuan baharu yang tidak diajar di dalam kelas.

“Saya rasa program ini sangat bermakna sebab kita sendiri dapat lihat kebijaksanaan pelajar-pelajar khususnya di negeri ini dalam konteks bidang kreatif.

“Kerjasama dengan pihak industri iaitu Sinar Bestari, Sinar Harian merancakkan lagi proses menimba ilmu ini yang tidak diajar di dalam kelas,” katanya ketika majlis penutup Jelajah TV PSS Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Tambah Roslan, penataran secara menyeluruh diharap dapat dilakukan dengan menjalankan program seperti itu di daerah-daerah lain di Negeri Sembilan agar dapat memberi peluang kepada para pelajar menimba ilmu yang sangat bermakna.

Sesi perkongsian mengenai penyuntingan video yang dikendalikan oleh juruvideo Sinar Harian.
Sesi perkongsian mengenai penyuntingan video yang dikendalikan oleh juruvideo Sinar Harian.

“Bagi saya, program sebegini tidak boleh setakat ini sahaja dan diharap kita dapat bergerak ke daerah-daerah lain pula untuk bersama- sama mempelajari daripada orang industri dan menambah baik TV PSS di sekolah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Jelajah TV PSS Negeri Sembilan melibatkan penyertaan seramai 84 murid sekolah rendah serta 83 pelajar sekolah menengah dan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Seremban.

Majlis penutupan program dimeriahkan dengan kehadiran wakil Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Roobah Vilachamy; wakil Pegawai Pendidikan Daerah, Dr Azizah Sanusi; Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber Teknologi Pendidikan, Mohd Aiman Abdoll Aziz dan Pengetua SMK Puteri, Siti Norezan Jalil.

Sesi perkongsian kerjaya oleh Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin.
Sesi perkongsian kerjaya oleh Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin.

PENGALAMAN ORANG MEDIA

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks KLIA, Suriany Che Wan menyatakan, program Jelajah TV PSS Sinar Bestari sangat membantu para pelajar khususnya mereka yang terlibat dengan TV PSS sekolah.

“Mereka bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperoleh di dalam kelas tetapi turut menyelami pengalaman yang dikongsikan oleh para penceramah yang merupakan orang media.

“Banyak perkongsian yang pelajar sekolah saya peroleh. Ini membantu mereka meningkatkan kemahiran dalam bidang kewartawanan.

Aktiviti merakam dan menyunting video yang dijalankan oleh para peserta program Jelajah TV PSS.
Aktiviti merakam dan menyunting video yang dijalankan oleh para peserta program Jelajah TV PSS.

“Perkongsian daripada kru Jelajah TV PSS ini juga mampu membuka mata dan minda mereka sekali gus menyuntik minat terhadap bidang tersebut,” katanya.

Sementara itu, guru Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, Aiman Haziq Nazri turut mengakui bahawa pendedahan yang lebih mendalam tentang dunia kewartawanan dan penyuntingan video oleh orang industri membantu anak-anak pelajar dalam meningkatkan kemahiran masing-masing.

Ulasnya, melalui program itu juga pelajar dapat belajar cara dan teknik yang betul, selain turut mempraktikkan segala ilmu berkenaan dalam TV PSS sekolah.

“Pada pandangan saya, program ini sangat bagus kepada pelajar untuk belajar sendiri menerusi orang industri.

“Saya berharap mungkin selepas ini sebagai cadangan tambah baik, penganjur program dapat membuat pendedahan dengan lebih mendalam terutamanya tentang cara merekod dan menyunting video agar kelihatan lebih menarik,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!