Selamatkan haiwan jalanan bukan kerja mudah

Jurieena (tengah) bersama ahli menyantuni haiwan jalanan. Gambar kecil dari kiri: Jurieena, Rohani, Naliah, Nurhuda
Jurieena (tengah) bersama ahli menyantuni haiwan jalanan. Gambar kecil dari kiri: Jurieena, Rohani, Naliah, Nurhuda
A
A
A

Tidak dinafikan sememangnya wujud situasi negatif dihadapi insan yang menyelamat haiwan terutama kucing jalanan.

Golongan ini bergelut dengan kesulitan apabila setiap usaha membantu haiwan terbiar untuk terus hidup tidak mendapat sokongan dan dana kewangan mencukupi.

Menerusi Apa Khabar Rakyat, Wartawan Sinar Harian, NORAWAZNI YUSOF kali ini menyingkap keluhan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) berhubung cabaran dan kekangan dihadapi sejak sekian lama.

Bilangan haiwan dibuang terutama kucing dilihat semakin meningkat saban hari sehinggakan ada dalam kalangan binatang ini ditimpa penyakit, mati dilanggar kenderaan atau menjadi mangsa anjing liar.

Kucing jalanan sentiasa diberikan makanan bagi memastikan haiwan terbabit tidak kelaparan. Salah seorang ahli kelab memberi makanan kepada kucing terbiar.
Kucing jalanan sentiasa diberikan makanan bagi memastikan haiwan terbabit tidak kelaparan. Salah seorang ahli kelab memberi makanan kepada kucing terbiar.

Menurut Naliah Sidek, 55, menjadi pencinta kucing bermakna terpaksa berdepan sikap segelintir manusia yang tidak menyukai haiwan berbulu halus ini.

Katanya, itu antara cabaran utama dilalui dalam usaha meneruskan visi dan misi membantu serta melindungi haiwan terbabit.

Naliah yang bekerja sendiri berkata, bukan semua masyarakat menyukai kucing jalanan walaupun boleh dipegang, dipeluk dan manja.

Artikel Berkaitan:

“Bila kita bantu (kucing jalanan), ada manusia yang perli, mengherdik apabila kami cuba melindungi dan memberi makanan di kawasan atau premis tertentu.

“Mereka memberi alasan (perbuatan memberi makan) mengotorkan kawasan sedangkan kami sudah meletakkan makanan di tempat sesuai,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Ibu kepada empat anak ini berkata, perasaan sedih bercampur marah timbul apabila mengetahui kucing dibuang pemilik selepas bilangan haiwan itu semakin bertambah.

Jurieena bersama sebahagian kucing jalanan yang dibuang pemilik mereka.
Jurieena bersama sebahagian kucing jalanan yang dibuang pemilik mereka.

Luahnya, sikap tidak bertanggungjawab ini sebenarnya menyebabkan usaha membantu seolah-olah dilakukan pencinta kucing tidak berkesudahan.

“Terlalu banyak persepsi negatif oleh (segelintir) masyarakat terhadap kucing jalanan. Malahan ada melabelkannya sebagai haiwan liar dan makhluk perosak.“Apa yang kami kesal haiwan yang dikatakan liar ini sebenarnya ada tuan sebelum dibuang di tempat lain atau di kaki lima,” katanya yang kecewa dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Bagi suri rumah, Rohani Shamsuddin, 55, yang terlibat dalam kerja menyelamatkan kucing jalanan sejak 10 tahun lalu berkata, sumber kewangan antara kekangan utama dihadapi mereka dalam usaha membantu haiwan jalanan ini.

Katanya, kos merawat, ubatan dan makanan kucing adalah tinggi menyebabkan mereka tidak mampu menampung keperluan haiwan berkenaan.

“Semakin besar haiwan, semakin banyak peruntukan diperlukan untuk makanan tersebut. Kos makanan bulanan juga tinggi.

Naliah (dua kanan) menerangkan kepada orang ramai mengenai akta berkaitan haiwan.
Naliah (dua kanan) menerangkan kepada orang ramai mengenai akta berkaitan haiwan.

“Lebih menyedihkan apabila ada kucing dibuang dijangkiti penyakit dan memerlukan rawatan serta vitamin. Jadi, perbelanjaan semakin bertambah.

“Kami tetap berusaha menyelamatkan haiwan ini walaupun bimbang dana yang ada semakin menyusut untuk menguruskan kucing ini,” ujarnya.

Selain itu, Rohani mengakui mencari lokasi selesa untuk kucing berteduh daripada hujan dan panas juga merupakan satu cabaran besar.

“Setiap haiwan mempunyai perasaan dan keperluan, mereka juga perlukan tempat berteduh dan ingin disayangi seperti haiwan lain. Namun berlaku sebaliknya apabila dibuang,” jelasnya.

Turut senada, Nurhuda Azwar, 31, yang terlibat dalam usaha menyelamatkan kucing sejak 2020 ketika negara menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang.

Katanya, sejak dari situ, dia mula mengambil berat perihal dan menyelamatkan kucing jalanan atas dasar empati.

Menurutnya, cabaran dihadapinya ialah mencari dana membeli sangkar besar bagi memberi keselesaan kepada kucing yang bunting selain pembelian ubat-ubatan bagi kucing sakit.

“Kalau boleh, saya mahu satu tempat perlindungan besar untuk anak kucing jalanan kerana akhir-akhir ini terdapat peningkatan haiwan yang dibuang.

“Bila ada satu tempat, ia memudahkan kami pencinta kucing menguruskan haiwan ini dengan lebih baik,” katanya yang bekerja sendiri.

Ahli SKJP sentiasa berusaha mencari dana memastikan nasib haiwan jalanan terbela.
Ahli SKJP sentiasa berusaha mencari dana memastikan nasib haiwan jalanan terbela.

Dia juga berharap kerajaan dan pihak NGO mengambil isu ini dengan serius.

Kerajaan, agensi berkaitan perlu bantu atasi haiwan terbias

Pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan membantu kelab SKJP dalam usaha menangani masalah haiwan terbiar di negeri ini.

Pengerusi SKJP, Jurieena Abdul Rani, 52, berkata setiap hari kes pembuangan kucing semakin bertambah dan keadaan ini menyebabkan dana diperlukan untuk menguruskan haiwan berkenaan terus meningkat.

Menurutnya, kebanyakan kucing dibuang tanpa menerima jagaan sempurna akan menghadapi pelbagai risiko seperti mati dilanggar, menjadi mangsa haiwan lain seperti biawak atau anjing liar dan menghidap penyakit kronik.

Tambahnya, sekiranya kucing dibuang atau dianiaya mendapat luka teruk, tidak ramai mahu membantu disebabkan kosnya amat tinggi.

“Tapi, kami tetap perlu membantu walaupun kelab jarang mendapat perhatian atau bantuan daripada kerajaan dan menyukarkan NGO seperti kami meneruskan misi dan visi.

“Namun begitu, kita (tetap) juga berusaha mencari dana membeli makanan kucing, kos rawatan dan pemandulan dengan membuka dana melalui laman sosial,” katanya yang berharap kerjasama semua pihak termasuk veterinar swasta mengenakan caj rawatan minimum bagi mengurangkan kos.

Selain itu, beliau meminta satu papan iklan mengenai Akta Kebajikan Haiwan 2015 diletakkan di lokasi yang menjadi tumpuan pembuangan dan penganiayaan haiwan ini.

Tegasnya, ini bagi membuka mata masyarakat bahawa aktiviti membuang haiwan termasuk kucing boleh diklasifikasikan sebagai penganiayaan selain haiwan dipukul, ditendang, dicampak atau dibunuh tanpa sebab.

“Semua (tindakan) ini termaktub dalam akta dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda dan penjara,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!