Sudah sampai masa maksimumkan tenaga solar
Beberapa hari lalu akhbar ini melaporkan tentang kenyataan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).
Pertubuhan yang mewakili komuniti perniagaan itu memberitahu mereka tidak dapat menurunkan harga barangan walaupun kadar tarif elektrik turun.
Mereka mendakwa tidak dapat berbuat demikian kerana masih lagi terpaksa menanggung beban kenaikan kos lain.
Kita bersimpati dengan cabaran yang perlu dihadapi peniaga dan pengilang dengan situasi tersebut. Mereka ini memainkan peranan penting dalam ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan.
Bagaimanapun, kita amat berharap agar golongan peniaga benar-benar bertanggungjawab dan tidak sekadar memberikan alasan semata-mata.
Umum mengetahui, harga barang yang dinaikkan sukar untuk diturunkan terutama oleh golongan peniaga yang tamak haloba.
Disebabkan itu, akhbar ini mencadangkan kepada pihak industri supaya beralih kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar.
Menurut pakar, industri mampu membuat penjimatan dari segi kos tenaga elektrik sehingga 50 peratus, dan mengurangkan kos operasi mereka.Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai potensi besar tenaga bersih kerana mempunyai cahaya yang mencukupi untuk menjana elektrik.
Berdasarkan laporan sebuah pertubuhan global bebas mengenai tenaga dikenali sebagai Ember, lima negara yang paling banyak menggunakan solar ialah China, Amerika, Jepun, India dan Jerman, namun Malaysia berada di kedudukan ke-35.
Bagaimanapun, difahamkan pemasangan sistem solar di negara ini masih lagi terlalu mahal dan pihak industri mengambil masa antara lima hingga enam tahun untuk mendapat kembali pulangan pelaburan.
Sehubungan itu, kita ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya kos untuk memasang sistem solar dapat diturunkan atau diberikan insentif.
Selain industri, kita juga mahu kos bagi pemasangan sistem solar untuk kediaman juga dapat diturunkan supaya dapat menguntungkan rakyat.
Ini merupakan satu langkah yang amat tepat dan sudah sampai masanya kerana kos sara hidup pada masa ini yang tinggi.
Dalam masa yang sama, kita dapat menjaga alam sekitar dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil yang menghasilkan karbon.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!