Semangat pemburuan emas AUG 2024 terus membara
NYALAAN pemburuan pingat emas hari ketujuh saingan Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 kontinjen negara diteruskan dengan merangkul empat medal tersebut pada Selasa.
Pemegang rekod kebangsaan lempar cekera wanita negara, Queenie Ting Kung Ni membuka gelanggang olahraga dengan butiran emas dari Lapangan Atletik FIK Universitas Negeri Surabaya (UNIESA).
Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) itu meninggalkan dua pesaing terdekat dari Indonesia, Wahyu Nur Aini (43.41m) dan Maria Aviliationo (42.47m) dengan mencatatkan balingan 45.23 meter (m) sekali gus mempertahankan pingat emas dimenanginya edisi Ubon Ratchathani 2022.
Atlet lompat jauh, Andre Anura Anuar kemudian menambah satu lagi pingat emas hasil lompatan 7.46 meter (m) untuk pengekalan kali kedua pingat emas dijanakan Lukman Hakim Ramlan pada edisi 2022.
Sementara itu, skuad badminton negara menjana dua pingat emas di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Negeri Malang menerusi beregu lelaki, Wong Tien Ci-Liew Xun yang menewaskan gandingan Indonesia, Elgiffani Muhammad Juan-Purnama Reza Dwicahya, 21-19, 21-10.
Emas kedua negara dibutirkan beregu campuran negara Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan yang menyingkirkan cabaran Elgiffani-Jovita Elizabeth dari Indonesia, 17-21, 21-17, 21-11.
PENAMPILAN AZEEM DI AUG 2024
RAJA pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi sudah bersedia memberikan segala-galanya sekiranya terpilih mengalas cabaran Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 yang menyingkap tirai pada penghujung Julai ini.
"Sejujurnya saya tidak meletakkan sebarang harapan untuk itu (tiket wild card Sukan Olimpik Paris 2024), namun sekiranya terpilih saya sudah bersedia memberi yang terbaik.
"Insya-ALLAH sekiranya rezeki saya akan ke Paris, saya ada masa sebulan memastikan bersedia sepenuhnya, sekiranya sebaliknya saya tetap berlapang dada akur sebarang keputusan yang diputuskan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia).
"Andaikata saya tidak terpilih ke Sukan Olimpik, saya akan memberikan tumpuan kepada Sukma Sarawak 2024," kata penuntut Universiti Auburn tersebut pemberita selepas aksi acara 100 meter lelaki akhir pada Selasa.
Sebagai rekod, perebutan tiket wild card antara Azeem dan Shereen Samson Vallabouy ke Paris 2024 dijangka diputuskan KOM pada Rabu.
Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim berkata badan induk itu perlu membuat penilaian lebih mendalam berhubung perkara tersebut.
Sementara itu dalam acara akhir 100 meter lelaki Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 di Lapangan Atletik FIK Universitas Negeri Surabaya (UNIESA), pelari kelahiran Teluk Intan, Perak tersebut meraih pingat perak dengan catatan masa 10.37 saat.
Pingat emas dan gangsa dimenangi wakil Indonesia, Lalu Muhamad Zohri dengan catatan masa 10.19s serta Jaelani Fatah Sidik (10.59s).
"Satu larian yang baik walaupun sejujurnya bukan penamat terbaik hari ini, namun saya bersyukur dapat menamatkan larian di podium walaupun bukan yang saya harap dapat diberikan untuk Malaysia.
"Mungkin rezeki saya hanya untuk berada di kedudukan kedua, alhamdulillah saya akan bawa momentum positif ini untuk larian 4x100m esok (Rabu) dan 200m," katanya.
AUG SURABAYA MALANG 2024
HARI KETUJUH
PUNGUTAN PINGAT
4 emas | 6 perak | 4 gangsa
PUNGUTAN PINGAT KESELURUHAN
18 emas | 23 perak | 32 gangsa
PINGAT EMAS
QUEENIE TING KUNG NI
(UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA )
Olahraga: Lempar Cakera Wanita
WEE YEE HERN ((UNIVERSITI MALAYA) /
NG QI XUAN (Taylor's University)
Badminton:Beregu Campuran
WONG TIEN CI (Taylor's University) / LIEW XUN (UNIVERSITI MALAYA)
Badminton: Beregu Lelaki
ANDRE ANUAR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Olahraga: Lompat Jauh Lelaki
PINGAT PERAK
HOOI SHAO HERNG (UCSI)
Badminton: Individu Lelaki
VALEREE SIOW ZI XUAN ((UNIVERSITI MALAYA) / LEE XIN JIE ((UNIVERSITI MALAYA)
Badminton: Beregu Wanita
NADIA AINA SYAZWANI ISHAK (POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN)
Taekwondo: Kyorugi -Bawah 63kg Wanita
KAMAL FARHAN A. RAHMAN (UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA)
Olahraga: Lempar Cakera Lelaki
MANDY GOH LI (UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA)
Olahraga: 400m Berpagar Wanita
MUHAMAD AZEEM MOHD FAHMI (AUBURN UNIVERSITY)
Olahraga: 100m lelaki
PINGAT GANGSA
UNG YI XING (HELP University)
Badminton: Individu Wanita
JASON JUN WEI LOO (YPC INTERNATIONAL COLLEGE)
Taekwondo: Indv Lelaki
FRENYNILA SHERLY LUCIUS (UMS)
Olahraga: 400m Berpagar wanita
RUSLEM ZIKRY PUTRA ROSELI (UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA)
Olahraga: 400m Berpagar Lelaki
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!