Kerajaan tingkat akses, kualiti pendidikan negara - PM

Anwar (lima dari kiri) bersama menteri yang hadir pada Majlis Kemuncak dan Penutup NTW 2024 di Stadium Bukit Jalil pada Ahad. - FOTO/BERNAMA
Anwar (lima dari kiri) bersama menteri yang hadir pada Majlis Kemuncak dan Penutup NTW 2024 di Stadium Bukit Jalil pada Ahad. - FOTO/BERNAMA
A
A
A

BUKIT JALIL - Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan negara serta memastikan sistem kuota bumiputera dan prinsip meritokrasi untuk manfaat semua pelajar terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua anak muda termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman wajar diberikan ruang untuk meneroka pelbagai sektor pekerjaan.

“Jika kerajaan, sektor swasta, pimpinan dan penjawat awam beri ruang dan kesempatan, saya percaya generasi muda tidak akan sia-siakan.

“Apa yang perlu ialah peluang lebih adil dan meluas. Apabila Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) melebar jaringan dari Kuala Lumpur ke Kapit dan seluruh daerah termasuk pedalaman.

“Ia bermakna memberikan ruang mengangkat martabat serta kesempatan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, kawasan dan seluruh pelusuk negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak dan Penutup Minggu Latihan Kebangsaan 'National Training Week' (NTW) 2024 di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam pada itu, ujar Anwar, kerajaan memutuskan bahawa semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya memperoleh keputusan 10A dan ke atas bakal diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat matrikulasi.

Anwar (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2024 di Stadium Bukit Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad. - FOTO/BERNAMA
Anwar (tiga dari kiri) merasmikan Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2024 di Stadium Bukit Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad. - FOTO/BERNAMA

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, keputusan hasil perbincangan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu itu bertujuan memastikan semua pelajar cemerlang tanpa mengira kaum diberi peluang sama adil dalam mendapat pendidikan lebih tinggi.

“Kalau ada anak-anak yang mencatat kejayaan 10A atau lebih untuk semua aliran sekolah di negara kita, maka keputusan kita tanpa kecuali mereka dari pelbagai kaum dan wilayah harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan.

“Saya tidak mahu meneruskan ini sebagai isu kaum lagi. Cuma saya tekankan ini keputusan yang berani," ujarnya.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama bagi memperincikan perkara tersebut dari segi pelaksanaan dan kaedah dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, jelas Anwar, kuota sedia ada bagi pelajar bumiputera dalam Program Matrikulasi di bawah KPM, tidak terjejas dan kekal sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pada Jumaat lalu, Jemaah Menteri bersidang dan mendengar keluhan rakyat serta meneliti usul, cadangan dan penyelesaian.

“Dengan cara ini, kita dapat meleraikan masalah sementara. Kita dapat memupuk semangat perpaduan dan cintakan negara melibatkan pelbagai kaum,” jelasnya.

Peruntukan RM2.6 bilion

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kementeriannya memperuntukkan dana sebanyak RM2.6 bilion bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Ujar beliau, dana berkenaan tidak membabitkan peruntukan baharu sebaliknya melalui usaha menggembelengkan sumber daripada sembilan jabatan dan lima agensi yang berkaitan dengan Kesuma dalam satu ekosistem secara bersepadu.

“Tidak mustahil kita bangunkan satusektor latihan kemahiran tempatan bertaraf dunia dalam ekosistem industriindustri teknologi tinggi bertapak di Malaysia lebih 50 tahun,” katanya.

Di samping itu, Steven berkata, sepanjang penganjuran NTW 2024, lebih 65,000 kursus latihan kemahiran percuma bernilai RM323 juta telah dianjurkan di semua daerah seluruh negara.

Menurut beliau, kursus-kursus latihan kemahiran tersebut dibiayai oleh sektor latihan kemahiran yang ada di negara ini. “Sepanjang minggu ini juga hampir 380,000 rakyat Malaysia telah mengikuti kursus-kursus latihan percuma tersebut.

“Dalam dua hari ini sahaja tapak di Bukit Jalil seperti sebuah universiti apabila hampir 3,000 peserta telah mengikuti lebih 70 kursus latihan percuma,” ulas beliau.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Majlis Kemuncak NTW 2024 mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records melibatkan tiga kategori iaitu penyertaan terbesar dalam program pembelajaran sepanjang hayat, webinar sumber manusia dan bengkel latihan maya terpanjang tanpa henti.

Acara berkenaan turut menyaksikan jalinan kolaborasi antara HRD Corp dan syarikat Microsoft Malaysia dalam Kemahiran Masa Depan Nasional dan Pusat Kecerdasan Buatan (AI).

Inisiatif NTW 2024 telah bermula 24 Jun lalu, menawarkan lebih 60,000 kursus latihan percuma dengan sasaran 200,000 penyertaan dari seluruh negara.

Selain kursus latihan, HRD Corp bersama rakan kolaborasi yang terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta turut mengadakan lebih 700 aktiviti pembelajaran di seluruh negara.