'Henti jual beras seludup, tanpa lesen'

KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang. Gambar hiasan
KPB sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Peniaga diberi amaran agar tidak menjual beras seludup dan tanpa lesen di mana-mana platform e-dagang.

Tegas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), sebanyak 94 iklan berkaitan penjualan beras secara dalam talian telah diturunkan oleh penyedia platform e-dagang bagi tempoh 1 Oktober 2023 hingga 31 Mei lalu.

"Padi dan beras adalah barang kawalan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan peraturan-peraturan di bawahnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar kementerian itu, sebarang urusniaga melibatkan barang kawalan di peringkat kilang, borong dan runcit termasuk jualan secara dalam talian memerlukan lesen yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

"Ketiadaan lesen barang kawalan beras adalah kesalahan di bawah Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996," jelas KPKM.

Di samping itu, katanya, beras yang dijual kepada pengguna dalam talian disyaki adalah beras yang dibawa masuk ke dalam negara tanpa mendapat kelulusan Kerajaan.

"Perbuatan ini merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1)(a) peraturan sama," katanya.

Tambah kementerian tersebut, penjual barang kawalan beras yang menggunakan platform e-dagang adalah terikat dengan perundangan yang berkuat kuasa iaitu Akta 522 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) sentiasa memantau aktiviti penjualan beras menggunakan platform dalam talian dengan kerjasama penyedia platform e-dagang berkenaan bagi membendung aktiviti berkenaan terus berleluasa.

"KPB juga ingin mengingatkan kepada peniaga bahawa penjualan secara dalam talian barangan kawalan padi dan beras perlu mematuhi mana-mana perundangan yang sedang berkuat kuasa.

Sekiranya didapati bersalah, pihak terlibat boleh didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!