[VIDEO] Pemandu bas persiaran terbabit nahas di Genting mengaku tidak bersalah

A
A
A

RAUB - Pemandu bas persiaran yang terbabit nahas di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands sehingga meragut nyawa dua pelancong warga China pada Sabtu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dua pertuduhan iaitu memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu.

Tertuduh, S Anand Kumar, 32, beralamat di Klang, Selangor membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 29 Jun 2024, kira-kira jam 10.20 pagi di Kilometer (KM) 16.5 Jalan Genting Highlands (hala turun) di Bentong sebagai pemandu bas persiaran telah didapati memandu dengan cara berbahaya, sehingga menyebabkan kematian dua warga China, Zhang Ping, 58, dan Wang Suhong, 49.

Anand Kumar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Raub pada Rabu atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu.
Anand Kumar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Raub pada Rabu atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya dan tidak memiliki lesen memandu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh di lokasi, waktu sama didapati memandu suatu kenderaan bermotor di jalan raya tanpa ada lesen memandu yang membenarkan memandu kenderaan tersebut.

Tertuduh dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret Raub.
Tertuduh dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret Raub.

Atas kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 26(1) APJ 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid yang menawarkan ikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan lesen sekiranya ada serta tidak dibenarkan permohonan lesen sehingga kes selesai.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memberikan alasan masih menanggung ibunya yang juga orang kurang upaya (OKU) dengan pendapatan RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Siti Aisyah kemudiannya mengenakan ikat jamin keseluruhan RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!