Myan Ton Pian dan Rambai antara tarikan Program Madani Zon Timur

Pengunjung yang hadir ke Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang pada 5 hingga 7 Julai ini, berpeluang bertemu dengan dua ekor gajah yang dibawa khas dari PKGK, Lanchang. Gambar Bernama
Pengunjung yang hadir ke Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang pada 5 hingga 7 Julai ini, berpeluang bertemu dengan dua ekor gajah yang dibawa khas dari PKGK, Lanchang. Gambar Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengunjung yang hadir ke Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang pada 5 hingga 7 Julai ini, berpeluang bertemu dengan dua ekor gajah yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK), Lanchang.

Diberi nama Myan Ton Pian dan Rambai, gajah berkenaan pernah tular di media sosial selepas mengepalai perarakan Lambaian Kasih bersempena Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 30 Januari lepas.

Menurut laman Facebook Malaysia Madani, selain dapat melihat kedua-dua gajah berkenaan secara dekat, peminat haiwan terutamanya kanak-kanak juga boleh menyertai aktiviti di zoo haiwan jinak.

Program Madani Rakyat menyediakan pelbagai perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seperti pameran, karnival kerjaya, Jualan Madani, tawaran pengurangan saman terpilih Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pemeriksaan kesihatan.

Acara menarik untuk seisi keluarga turut diadakan seperti promosi pelancongan desa, edaran anak pokok, pengumpulan e-waste dan program Jom Tukar Topi Keledar!.

Selain itu, orang ramai turut berpeluang menyertai pertandingan teh tarik berirama, tebar roti canai, kompang formasi dan e-sukan.

Majlis perasmian Program Madani Rakyat Zon Timur akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai dengan dihadiri pemimpin tertinggi kerajaan Persekutuan dan negeri.

Selain usaha kerajaan membawa perkhidmatan terus kepada rakyat, program ini juga dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuhkan hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras dengan agenda Malaysia Madani.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Jabatan Penerangan (JaPen) menerusi program Info On Wheels (IOW) giat mengadakan jelajah di pantai timur bagi mempromosikan Program Madani Rakyat Zon Timur.

Di Kuala Lipis, Pahang, IOW membuat hebahan melalui pembesar suara bagi memberi penerangan kepada masyarakat setempat mengenai perkhidmatan dan aktiviti yang dijalankan pada program berkenaan.

IOW yang merupakan program turun padang dan libat urus JaPen bersama komuniti setempat, turut berkongsi mengenai aktiviti hebahan dijalankan di Marang, Terengganu menerusi hantaran di media sosial. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!