Aliff Aziz, Ruhainies mengaku tidak bersalah berkhalwat

Aliff Aziz (kanan) dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini  pada Rabu, atas satu pertuduhan berkhalwat di sebuah kondominium, empat bulan lalu.
Aliff Aziz (kanan) dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini  pada Rabu, atas satu pertuduhan berkhalwat di sebuah kondominium, empat bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kontroversi kes khalwat antara penyanyi, Aliff Aziz dan pelakon, Ruhainies terjawab apabila mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan berkhalwat di sebuah kondominium, empat bulan lalu.

Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 33, dan Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan, di hadapan Hakim Syarie, Abu Suffian Abu Yaziz.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berada bersama orang Islam yang bukan isteri, suami atau mahram, dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak, bahawa mereka membuat perbuatan tidak bermoral.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondomonium di Bukit Bintang di sini, pada jam 12.35 pagi, 9 Mac lalu.

No Image Caption

Pertuduhan terhadap Aliff Aziz dibuat mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 iaitu Khalwat, sementara Ruhainies, Seksyen 27 (b) akta sama.

Sesyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Syarie: Faham pertuduhan (Aliff dan Ruhainies)?

Artikel Berkaitan:

Aliff: Faham, mengaku tidak bersalah.

Ruhainies: Faham pertuduhan, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Kes ini dikendalikan pendakwa syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Masroha Duki dan Mohd Nahar Mohamad manakala pasangan artis berkenaan diwakili peguam syarie, Abdul Hadi Mohamad Salleh dan Muhammad Amirul Ashraf A Ghani.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan kes pada 17 Oktober depan dan membenarkan bon jaminan masing-masing sebanyak RM1,500 dilanjutkan sehingga prosiding selesai.

Pada 9 Mac lalu, nama Aliff Aziz terpalit dengan kontroversi apabila dia dicekup berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu negara bersama pelakon, Ruhainies.

No Image Caption

Susulan itu, kedua-dua pelakon itu menjadi sasaran netizen sebelum mereka tampil membuat permohonan maaf dan menafikan dakwaan itu.

Isteri, Aliff iaitu Bella Astillah kemudiannya memfailkan perceraian secara ekspres, namun pelakon itu enggan menceraikannya pada sebutan kes pada 4 April lalu.

Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, Aliff menceraikan Bella dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

Sebagai rekod, Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun rujuk semula ketika dalam iddah.

Mereka yang melangsungkan perkahwinan pada 9 September 2016, dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!