Pegawai imigresen, tiga lelaki didakwa seludup enam wanita Vietnam

Eng Keong (depan) bersama Sukree dan Abdul Hadi dibawa ke Mahkamah Tinggi Taiping pada Rabu atas pertuduhan menyeludup enam migran wanita warga Vietnam.
Eng Keong (depan) bersama Sukree dan Abdul Hadi dibawa ke Mahkamah Tinggi Taiping pada Rabu atas pertuduhan menyeludup enam migran wanita warga Vietnam.
A
A
A

TAIPING - Seorang pegawai imigresen antara empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Taiping pada Rabu atas pertuduhan menyeludup enam migran wanita warganegara Vietnam, Mac lalu.

Tertuduh, Abdul Hadi Mat Din, 42; Teoh Boon Poh, 58; Chua Eng Keong, 47 dan warga Thailand, Sukree Awang, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Ruwena Md Nurdin.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama menjalankan penyeludupan migran melibatkan enam wanita iaitu Cu Thi Diem Hang, Le Thi Truc Linh, Dang Thi Huynh Trang, Phan Thi Nhan, Pham Thi Truc Ly dan Nguyen Ai Thi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta berbayar, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu sekitar jam 11.26 pagi pada 9 Mac lalu.

Boon Poh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyeludup migran warga Vietnam.
Boon Poh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyeludup migran warga Vietnam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga didenda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nazreen Zabarudin.

Abdul Hadi dan Boon Poh diwakili peguam, Harpal Singh manakala Mohamad Hafiz Jalaludin mewakili Eng Keong manakala Shukree diwakili Muhamad Syah Azlan Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!