Tiga laluan ditutup sempena Program Madani Rakyat Zon Timur

Wan Mohd Zahari
Wan Mohd Zahari
A
A
A

KUANTAN - Tiga laluan sekitar Dataran Sayangi Kuantan tapak Program Madani Rakyat Zon Timur akan ditutup secara berkala bermula 5 hingga 7 Jun ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, laluan terlibat adalah Jalan Mat Kilau (Simpang Lorong Mat Kilau 6- Jalan Tanah Putih) dan Lorong Mat Kilau 2.

Menurutnya, turut terlibat Jalan Tanah Putih (hadapan bangunan TM) kedua arah yang akan ditutup semasa acara perasmian pada 6 Jun dan bermula jam 8 pagi pada 7 Jun bagi memberi laluan untuk acara Kuantan Half Maraton.

"Jalan Kemunting akan ditutup kepada semua kenderaan awam bermula 5 hingga 7 Jun dan hanya dibuka kepada penduduk kawasan Kemunting, petugas, agensi dan peserta yang terlibat dengan program tersebut," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Wan Mohd Zahari berkata, seramai 283 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk penugasan kawalan orang ramai sepanjang program itu berlangsung.

"Selain itu, 93 anggota trafik termasuk warden trafik Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) digerakkan untuk kawalan trafik," katanya.

Tambah beliau, orang ramai yang akan berkunjung ke program itu boleh meletakkan kenderaan di tempat parkir awam di Stadium Darul Makmur, Serambi Teruntum, Medan Warisan, parkir sebelah pasar raya Giant, Taman Esplanade, belakang Kompleks Teruntum dan Taman Kerang.

"Kemudahan bas ulang-alik disediakan dari Stadium Darul Makmur dan Serambi Teruntum ke tapak program," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya, orang ramai yang akan hadir ke program itu diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan arahan lalu lintas daripada pihak berkuasa.

"Orang ramai juga diingatkan agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan dan di mana-mana lokasi yang boleh menghalang atau mengganggu lalu lintas.

"Sebaiknya letakkan kenderaan di lokasi parkir awam yang disarankan dan mengguna sepenuhnya kemudahan khidmat bas ulan- alik yang disediakan pihak penganjur," ujarnya.

Tambah beliau, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengadakan pameran aset pada Program Madani Rakyat Zon Timur itu yang disertai 69 Komando, Polis Marin, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Pemusnah Bom (UPB).

"Paling menarik dan tidak boleh lepaskan peluang adalah tawaran pengurangan saman trafik 50 peratus yang ditawarkan di kaunter yang disediakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!