PRK Sungai Bakap: Dua kertas siasatan dibuka

Polis Pulau Pinang membuka dua kertas siasatan sepanjang tempoh kempen PRK Sungai Bakap. Foto hiasan
Polis Pulau Pinang membuka dua kertas siasatan sepanjang tempoh kempen PRK Sungai Bakap. Foto hiasan
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Polis Pulau Pinang membuka dua kertas siasatan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu merosakkan bahan kempen seperti bendera dan sepanduk parti.

Menurutnya, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4 A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR) iaitu mengedar risalah yang menyalahi undang-undang.

"Tempoh berkempen berbaki tiga hari menjelang hari mengundi, Sabtu ini. Semua pihak dinasihatkan agar tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak semasa berkempen termasuk khianat atau merosakkan bahan kempen," katanya.

Dalam masa sama, Hamzah mengingatkan kesemua penyokong dan parti politik agar tidak memainkan isu 3R, (raja, agama, dan kaum) sepanjang tempoh berkempen.

"Polis sentiasa memantau aktiviti di media sosial bagi mengesan sebarang penyebaran berita palsu, fitnah atau hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana parti politik atau individu yang melanggar undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Mengulas mengenai permit, Hamzah berkata, pihak polis telah meluluskan 15 permit pada hari ke-12 tempoh kempen menjadikan jumlah keseluruhan adalah 135 permit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya, seramai 57 anggota polis telah selesai menunaikan tanggungjawab mengundi menerusi pengundian pos awal pada 2 Julai lepas.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!