RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan kali pertama

Mohd Na'im. Foto fail Bernama
Mohd Na'im. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Rabu, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan.

Rang undang-undang itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang berkenaan dijadual dibentangkan pada mesyuarat yang sama.

Menurut naskhah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.

Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: