Bank Rakyat agih 13,213 pek daging korban

Bank Rakyat mengagihkan daging korban daripada 181 ekor lembu dan 214 ekor kambing menerusi program Cahaya Aidiladha bermula 21 Jun hingga 2 Julai 2024.
Bank Rakyat mengagihkan daging korban daripada 181 ekor lembu dan 214 ekor kambing menerusi program Cahaya Aidiladha bermula 21 Jun hingga 2 Julai 2024.
A
A
A

BANK Rakyat menerusi Akaun Simpanan-i Tabung Qurban telah mengagihkan sebanyak 13,213 pek daging korban di 13 lokasi seluruh negara bagi menyantuni golongan yang memerlukan menerusi program Cahaya Aidiladha bermula 21 Jun hingga 2 Julai 2024.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman berkata, agihan daging daripada 181 ekor lembu melibatkan 1,267 bahagian dan 214 ekor kambing dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.25 juta.

Menurut beliau, penyertaan ibadah korban dilaksanakan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada pelanggan dengan simpanan minimum semasa.

Antara lokasi yang terpilih ialah Majlis Bandaraya Diraja Klang, Pusat Latihan Polis Dungun, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pejabat Pendidikan Daerah Pontian, Universiti Teknologi Mara Kedah, Pusat Pemulihan Akhlak Machang dan Masjid Qariah Kampung Paya Port Dickson.

“Akaun Simpanan-i Tabung Qurban ini membantu pelanggan untuk melakukan simpanan lebih sistematik selain menyediakan perkhidmatan ibadah korban yang lebih terjamin dan selamat di dalam mahupun luar negara.

“Program ini telah disumbangkan oleh pelanggan melalui Akaun Simpanan-i Tabung Qurban yang dilancarkan pada 17 Mei lalu dan kami turut bekerjasama dengan Surau Al-Barakah bagi menguruskan ibadah korban kali ini.

“Agihan ini dilakukan dengan kerjasama 13 rakan strategik termasuk Pejabat Pendidikan Daerah Muallim, UiTM Shah Alam, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah, Koperasi Perumahan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Bangi, Majlis Sukan Negeri Selangor dan Surau Al-Barakah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, menurut Mohammad Hanis, mereka turut menyumbang sebanyak RM15,000 kepada 50 orang asnaf.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Bank Rakyat turut memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada setiap institusi yang bekerjasama dalam menjayakan Program Cahaya Aidiladha bagi tujuan pengimarahan masjid dan surau.

Selain itu, inisiatif tersebut menunjukkan keprihatinan dan ihsan terhadap kesejahteraan serta kemakmuran masyarakat sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

"Setiap asnaf menerima RM300 setiap seorang dan keperluan asas seperti beras serta minyak masak di setiap lokasi agihan daging korban.

“Program yang dijalankan ini merupakan inisiatif jangkauan komuniti berterusan bagi berkongsi rezeki dan membantu meringankan beban golongan memerlukan ketika musim perayaan ini,” ujarnya.

Sementara itu, Mohammad Hanis berkata, pelanggan berpeluang memenangi satu gram wafer emas menerusi Akaun Simpanan-i Tabung Qurban sebelum 30 September 2024 dengan mengekalkan baki minimum sebanyak RM1,500 di akhir tempoh kempen.

“Pelanggan yang berminat untuk melanggan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban boleh melayari laman sesawang www.bankrakyat.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan Bank di talian 1300805454 serta mengunjungi mana-mana cawangan terdekat untuk maklumat lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pada 17 Mei lepas juga, Bank Rakyat turut melancarkan Akaun Simpanan-i Ibadah Umrah yang berkonsepkan Tawarruq.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!