Lelaki didakwa lakukan khianat bakar kereta

Weng Song (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Weng Song (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Rabu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tuduhan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan sebuah kereta terbakar pada bulan lalu.

Tertuduh, Yew Weng Dong, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api yang menyebabkan kerosakan sebuah kereta jenis Perodua Alza milik seorang wanita berusia 35 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3.30 pagi di sebuah rumah bernombor di Taman Mengkuang Masjid Tanah di sini pada 6 Jun lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin dalam hujahnya memohon tarikh baharu bagi serahan dokumen selain mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000.

Tertuduh yang diwakili Peguam dan Francis merayu jaminan yang rendah memandangkan keluarga tertuduh tidak berkemampuan untuk menyediakan wang jaminan yang banyak.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin bercagar.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai dan menetapkan 5 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Sinar Harian pada 13 Jun lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun disyaki terlibat dalam kejadian membaling molotov cocktail ke arah sebuah kenderaan di hadapan sebuah rumah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, individu itu ditahan di Kuala Lumpur selepas polis menerima laporan berkaitan kes khianat kenderaan dibakar yang dibuat oleh mangsa berusia 38 tahun.

Menurutnya, berdasarkan laporan polis, mangsa yang merupakan seorang wanita mendakwa kejadian berpunca daripada hutang along kerana sebelum ini keluarganya juga pernah diganggu lintah darat.

Beliau berkata, maklumat awal yang diperoleh, pemilik rumah memberitahu anak saudara lelakinya yang bekerja di Singapura telah meminjamkan akaun bank miliknya kepada rakan bagi membuat pinjaman wang sebelum lelaki terbabit melarikan diri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!