Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing diguna lebih enam tahun tanpa kontrak – PAC

Mas Ermieyati membentangkan laporan berhubung sistem ePPAx dan FWCMS di bawah Kesuma dan KDN.
Mas Ermieyati membentangkan laporan berhubung sistem ePPAx dan FWCMS di bawah Kesuma dan KDN.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen mengenal pasti berlaku pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang awam.

Ia melibatkan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bahkan, sistem FWCMS didapati telah digunakan selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan, jelas melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Selain itu, PAC turut mendapati wujudnya kelemahan dalam pengurusan kawalan 'Identification' (ID) dalam sistem FWCMS apabila terdapat dua ID yang dipegang oleh bukan pegawai Kesuma, manakala terdapat 24 'unauthorised user' yang telah meluluskan 24 permohonan majikan.

Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kes berkenaan telah dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar satu siasatan dijalankan.

Beliau menjelaskan, laporan PAC itu adalah hasil empat prosiding dijalankan pada 5 Disember 2023, 22 Januari 2024 dan 13 Mac 2024 dengan memanggil saksi terdiri daripada Jabatan Audit Negara, KDN, Kesmua, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan vendor sistem FWCMS iaitu syarikat Bestinet Sdn Bhd.

"Melalui prosiding yang diadakan, PAC mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem yang sama berkonsepkan 'single window' pada 26 Ogos 2015.

"PAC turut mendapati bahawa kontrak FWCMS masih belum dimuktamadkan dan ditandatangani antara kerajaan dan vendor walaupun Surat Setuju Terima bagi pembangunan sistem FWCMS telah dikeluarkan pada 12 Januari 2018 sehingga tarikh prosiding terakhir PAC, 13 Mac 2024.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermakna kerajaan/KDN menggunakan sistem FWCMS selama lebih kurang enam tahun tanpa kontrak yang dimuktamadkan dan ini jelas melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Rabu.

Tambah beliau, FWCMS juga tidak termasuk di dalam senarai projek yang telah mendapat kelulusan prinsip Jemaah Menteri atau Surat Niat untuk dilaksanakan secara Public Private Partnership (PPP) bagi tahun 2009 hingga 31 Mei 2020.

Selain itu, katanya, PAC juga mendapati Nota Jemaah Menteri mengenai hala tuju dan pelaksanaan FWCMS tidak diangkat kepada Jemaah Menteri sebelum SST dikeluarkan.

"PAC turut dimaklumkan KDN bahawa Bestinet telah memohon perlanjutan kontrak bagi tempoh enam tahun dan kenaikan caj kutipan daripada RM100 kepada RM120.

"Pada 24 Jun 2024, Menteri KDN memaklumkan bahawa Jemaah Menteri bersetuju melanjutkan kontrak selama tiga tahun lagi dengan syarikat Bestinet.

"PAC akan mendapatkan maklumat berkaitan perkara ini dalam prosiding tindakan susulan yang akan diadakan dalam tempoh tiga bulan dari hari ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAC Parlimen mengesyorkan KDN dan Bestinet segera memuktamadkan keputusan perjanjian dan hala tuju sistem FWCMS.

KDN juga hendaklah membetulkan kecelaruan yang berlaku dalam proses perolehan dan mencari jalan penyelesaian dengan segera.

"PDRM perlu memaklumkan perkembangan terkini terhadap siasatan 24 permohonan kuota pekerja asing yang telah diluluskan oleh 'unauthorised user' seperti dilaporkan oleh Kesuma," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!