Calon PN mampu menang PRK Sungai Bakap - Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU - Calon Perikatan Nasional (PN) diyakini mampu melakar kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan keyakinan itu adalah berdasarkan maklum balas diterima daripada pimpinan parti serta kumpulan penyelidik yang berada di lapangan ketika ini.
Beliau berkata, jentera PN akan terus melakukan pecutan dan gerak kerja kempen pada saat-saat akhir yang berbaki beberapa hari lagi sebelum pengundian.
"Momentum semakin baik ke arah kemenangan (calon PN, Abidin Ismail) maka pecutan terakhir ini kita akan cuba lakukan sedaya upaya.
"PRK adalah seumpama permainan bola sepak... bola itu bulat. Gol terbuka untuk kedua belah pihak.
"Tetapi dalam situasi sekarang dengan pelbagai isu di peringkat nasional dan peringkat tempatan maka saya percaya... Insya-ALLAH, rasa sangat positif untuk mencapai kemenangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas 'One Off' Tahun 2023 kepada imam ketiga masjid mukim negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menjelaskan keyakinan tinggi untuk memenangi PRK DUN Sungai Bakap juga didorong oleh keberkesanan kempen yang dijalankan jentera PN setakat ini.
"Kerjasama semua jentera dalam PN juga sangat baik dan kita rasa telah perbaiki berbanding jentera dalam PRK yang lain sebelum ini.
"Insya-ALLAH....kita akan buat pecutan terakhir," jelas beliau.
Pada majlis berkenaan, sebanyak RM194,400 diagihkan kepada 324 imam ketiga masjid mukim yang dibayar pada tahun 2023.
Joohari dicabar Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili PN dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Kerusi DUN Sungai Bakap yang merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal, mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!