Penggunaan logo ‘bulan’ sudah terbukti berkesan - Mohamed Fadzli

Mohamed Fadzli
Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Penggunaan logo ‘bulan’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu berhasil memberikan dominasi kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, bagaimanapun untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada 17 Ogos nanti, belum ada apa-apa ketetapan untuk menggunakan mana-mana logo parti yang bernaung di bawah gabungan itu.

“Jika ikut kaedah lepas, logo yang dipertandingkan di Kelantan ialah menggunakan logo bulan (Pas).

“Setakat ini terbukti dalam pilihan raya umum itu satu tindakan yang tepat, berkesan serta berjaya diterima oleh semua rakyat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Cawangan Operasi Dinar Dirham dan Kempen Simpanan Progresif Penjawat Awam Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini, pada Rabu.

Mohamed Fadzli (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Saudagar Dinar Dirham.
Mohamed Fadzli (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Saudagar Dinar Dirham.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menjelaskan, keputusan berkaitan logo yang hendak dipakai mahupun penetapan pemilihan calon yang bertanding pada PRK Nenggiri diserahkan kepada kepimpinan tertinggi parti.

“Tak usah buat apa-apa spekulasi dan kita juga akan terima siapa-siapa saja yang dipilih oleh pimpinan parti,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Nenggiri pada 17 Ogos depan, penamaan calon pada 3 Ogos manakala undi awal ditetapkan pada 13 Ogos.

Artikel Berkaitan:

DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi itu kosong pada 19 Jun lalu selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim kehilangan keahlian Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pada pilihan raya negeri ke-15 lalu, PN dengan menggunakan logo Pas menang di 43 kerusi DUN Kelantan, manakala gabungan Barisan Nasional (BN) - Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi iaitu di Galas (BN) dan Kota Lama (PH).