'Hanya ALLAH mampu balas sumbangan anda semua'
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang ibu dua anak menghidap penyakit lembam dan bergantung hidup atas ihsan jiran terharu apabila rakyat Malaysia menghulurkan bantuan termasuk membaiki pulih rumahnya yang usang di Kampung Sungai Ular di sini.
Rabiyatul Fazlinaniswati Mohd Yasin, 41, berkata, dana kewangan mencecah lebih RM10,000 yang disumbangkan oleh orang ramai telah mengubah kehidupannya ke arah lebih baik.
"Saya ucap terima kasih, duit infak diterima beri senyum bahagia kepada kami sekeluarga.
"Duit itu saya guna baiki lantai, buat pendawaian dan beli barang kelengkapan rumah termasuk motosikal. Sumbangan anda (rakyat Malaysia) berikan hanya ALLAH mampu balasnya dengan kebaikan," katanya pada Rabu.
Kisah Rabiyatul Fazlinaniswati pernah dilapor Sinar Harian pada 28 Jun lalu selepas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Amal Team Kuantan membantu membaiki atap kediaman rumahnya.
Rabiyatul Fazlinaniswati memberitahu, tanpa bantuan derma daripada orang ramai, dia tidak mampu tinggal di tempat selesa.
"Walaupun ada dinding yang usang tidak dapat ditukar, tapi saya dah bersyukur kerana rumah ini sudah cukup sempurna untuk didiami.
"Saya tidak perlu menumpang rumah saudara atau jiran pada hari hujan," luahnya.
Sementara itu, Permudah Cara Amal Team Kuantan, Jamilah Salleh memberitahu sumbangan orang ramai digunakan 100 peratus bagi memenuhi keperluan Rabiyatul Fazlinaniswati.
"Kini kerja- kerja membuat lantai, dinding bilik dan pendawaian elektrik sedang giat dilakukan hasil daripada sumbangan orang ramai.
"Kita ada lagi wang sumbangan, mungkin kita akan baiki sedikit lagi dinding dan tingkap yang berlubang," katanya.
Orang ramai boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0610041000271789 atas nama Rabiyatul Fazlinaniswati.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!