Tabung Kasih Johor- Palestin sasar kutipan RM2.5 juta

Onn Hafiz (empat dari kiri) melancarkan Tabung Kasih Johor - Palestin di Kota Iskandar pada Rabu.
Onn Hafiz (empat dari kiri) melancarkan Tabung Kasih Johor - Palestin di Kota Iskandar pada Rabu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM2.5 juta menerusi Tabung Kasih Johor - Palestin yang dilancarkan bermula Julai.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri berkata, penghantaran sumbangan Tabung Kasih Johor- Palestin dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri dijangka bermula pada Ogos.

Jelasnya, Tabung Kasih Johor - Palestin akan diletakkan di hampir 3,000 masjid dan surau seluruh negeri ini setiap Jumaat dan sumbangan juga boleh dibuat menerusi transaksi akaun.

"Terdapat beberapa kaedah yang digunakan untuk pemberian sumbangan kepada saudara kita di Palestin. Pertama, akan dihantar menggunakan jalan laut seterusnya penghantaran di sempadan Mesir-Gaza.

"Selain itu, pemberian khemah di bawah Perkampungan Johor di Gaza dan pemberian makanan panas di kem-kem pelarian.

"Kita juga memohon bantuan daripada Op Ihsan iaitu sebuah gabungan kemanusiaan yang diperakui oleh Kementerian Luar Negeri," katanya.

Beliau ditemui selepas Pelancaran Tabung Kasih Johor - Palestin oleh Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Kota Iskandar di sini pada Rabu.

Menurut Mohd Fared, bantuan berbentuk masakan panas, khemah dan juga bungkusan daripada Mesir akan diberikan dahulu sebagai bantuan untuk menghadapi musim sejuk di Gaza, Palestin.

Artikel Berkaitan:

"Minyak zaitun dan tepung gandum antara barang yang sesuai untuk penduduk Palestin. Selain itu, kita akan mendapatkan nasihat untuk barangan yang sesuai disumbangkan.

"Segala perbelanjaan bagi pembelian sumbangan dan kos perbelanjaan tabung ini akan diumumkan Menteri Besar agar tidak timbul kekeliruan dan telus," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!