Sebar maklumat dalaman, boleh digantung tugas - KDN

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan mengikut peraturan termasuk gantung tugas sekiranya didapati mana-mana kakitangan di bawah kementerian itu disyaki terlibat dalam penyebaran maklumat dalaman.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan itu juga tidak terkecuali bagi anggota dan pegawai pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang boleh dikenakan hukuman seperti yang termaktub di bawah Peraturan 43, 44 dan 45 Peraturan-peraturan Pegawai Am (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Di Kementerian Dalam Negeri atau mana-mana jabatan pun kita ada peraturan, atau undang-undangnya sendiri.

"Sudah tentu menjadi harapan kita semua pegawai di mana peringkat pun mematuhi peraturan," katanya.

Shamsul Anuar (tengah) ketika membuat pemeriksaan barisan
sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke- 53 Peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Kawad Akademi Latihan Rela Malaysia, Sungai Udang pada Rabu.
Shamsul Anuar (tengah) ketika membuat pemeriksaan barisan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke- 53 Peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Kawad Akademi Latihan Rela Malaysia, Sungai Udang pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke-53 Peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Kawad Akademi Latihan Rela Malaysia (ALARM), Sungai Udang di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan gantung tugas itu sememangnya termaktub dalam peraturan yang sedia ada selain hukuman lain yang boleh diambil mengikut perundangan yang telah ditetapkan.

Ujar beliau, sebarang isu berbangkit perlulah dirujuk terlebih dahulu kepada saluran tepat dalam apa jua keadaan.

Artikel Berkaitan:

"KDN ada laman web rasmi jadi apa juga isu berlaku rujuk pada maklumat rasmi supaya rakyat dapat maklumat sumber yang sah dan sahih," katanya lagi.

Pada Selasa, media melaporkan seorang pelawak dan isterinya direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Telegram.

Menurut sumber, pelawak berusia 38 tahun dan isterinya, 37, yang juga anggota polis, ditahan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, Selangor pada 7 malam Isnin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Terdahulu, tular di aplikasi Telegram berkaitan gambar lawatan Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Datuk Sahabudin Abd Manan di IPD Shah Alam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!