'Kami rela bayar sewa asalkan dapat berniaga'

Mohd Faiz (dua dari kanan) menunjukkan salinan permohonan lesen penjaja di Jalan Eco Grandeur Puncak Alam bagi pertimbangan MPKS.
Mohd Faiz (dua dari kanan) menunjukkan salinan permohonan lesen penjaja di Jalan Eco Grandeur Puncak Alam bagi pertimbangan MPKS.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Puncak Alam merayu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) tidak meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti perniagaan mereka di Jalan Eco Grandeur Puncak Alam di sini.

Pengerusinya, Mohd Faiz Hafizi Kamarudin berkata, sejak kebelakangan ini anggota penguat kuasa MPKS giat menjalankan tindakan kompaun dan mengeluarkan notis pengosongan tapak berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan kebimbangan penjaja berikutan hanya bergantung kepada perniagaan itu sebagai punca pendapatan.

"Saya tiada pekerjaan tetap melainkan hanya berniaga di sini sepenuh masa, mahu atau tak, perniagaan perlu diteruskan walaupun dikenakan tindakan kompaun oleh MPKS.

"Sehingga kini, saya sendiri telah terima dua notis kompaun iaitu pada 16 Mei dan 29 Jun lalu," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Penjaja berharap MPKS memberi lesen kebenaran sementara bagi mereka meneruskan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.
Penjaja berharap MPKS memberi lesen kebenaran sementara bagi mereka meneruskan aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

Mohd Faiz yang mula menjalankan perniagaan menjual minuman sejak Mei tahun lalu memberitahu, dia sudah beberapa kali berusaha mendapatkan lesen penjaja sementara di kawasan itu daripada MPKS, namun sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas.

"Saya telah memohon lesen penjaja kecil sementara di kawasan ini pada Ogos tahun lalu dan membuat susulan mengenainya pada setiap bulan, namun sehingga kini masih tidak mendapat sebarang maklum balas," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Faiz, tapak penjaja di hadapan beberapa premis perniagaan di kawasan itu sebelum ini lengang terutama pada waktu malam.

"Dahulu tiada siapa pun menghiraukan tempat ini, keadaan persekitarannya gelap dan sunyi, kami cuba bangunkan aktiviti perniagaan, namun hanya selepas enam bulan kami beroperasi ia mula menjadi tumpuan pengunjung," jelasnya.

Seorang peniaga makanan, Normiza Ruslan, 36, berkata, sehingga kini terdapat 22 penjaja yang menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan itu.

Normiza
Normiza

Ujarnya, semua penjaja bersedia sekiranya MPKS mengenakan bayaran tapak sewa asalkan mereka dapat meneruskan perniagaan.

"Tempat ini strategik dan boleh jadi tarikan pengunjung di Puncak Alam ini, namun malangnya ia tidak dapat kebenaran MPKS.

"Kami rela membayar sewa kepada MPKS asalkan dapat meneruskan perniagaan lebih-lebih lagi saya memerlukan pendapatan tambahan dalam keadaan kos hidup semakin tinggi," kata ibu dua anak itu.

Penjaja makanan, Rohhaya Din, 38, berkata, penduduk amat berharap MPKS mengadakan pertemuan dengan penjaja bagi membincangkan masalah berkenaan.

Rohhaya
Rohhaya

Jelasnya, penjaja telah menghantar kertas kerja permohonan lesen kawasan itu kepada Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada 20 Mei lalu.

Ibu lima anak itu memberitahu, masalah itu juga mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan serta Ahli Majlis Zon 21 Puncak Alam, V Alagenthran.

"Kami berterima kasih kepada pemimpin setempat yang mengambil berat isu ini dan berharap ada jalan penyelesaian dibuat MPKS.

"Saya bersyukur kerana peluang menjaja di kawasan ini setidak-tidaknya dapat meringankan beban suami yang bekerja pendawaian elektrik," katanya.

Sementara itu, MPKS memaklumkan akan menjawab isu itu menerusi kenyataan media dalam waktu terdekat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!