[VIDEO] Tuntutan harta lebih RM2.1 bilion Jamaludin Jarjis selesai

A
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas enam tahun berlanjutan, balu Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr Kalsom Ismail bersama empat anak dan ibu mentuanya akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan kemelut tuntutan harta sepencarian lebih RM2.1 bilion secara baik, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu.

Empat anak Kalsom itu ialah Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla sementara ibu mentuanya, Aminah Abdullah selaku defendan pertama hingga kelima.

Peguam syarie, Nur Hidayah A Bakar yang mewakili ibu Jamaludin, Aminah, 90, berkata demikian selepas prosiding kes itu dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie, Abu Suffian Abu Yaziz.

“Ini bermakna, tiada lagi prosiding tuntutan di mahkamah, termasuk tuntutan harta pusaka Allahyarham.

“Alhamdulillah, semua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes ini, namun terma-terma penyelesaian yang terkandung dalam penghakiman persetujuan tidak dapat didedahkan,” katanya.

Selepas prosiding selesai, Kalsom (lima dari kanan) bersama empat anaknya serta ibu mentua, Aminah (berkerusi roda) bergambar bersama barisan peguam syarie, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu.
Selepas prosiding selesai, Kalsom (lima dari kanan) bersama empat anaknya serta ibu mentua, Aminah (berkerusi roda) bergambar bersama barisan peguam syarie, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu.

Ia adalah membabitkan harta sepencarian, termasuk 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat dan Arab Saudi dan saham dalam beberapa syarikat tempatan.

Menurutnya, sebelum ini mahkamah menetapkan Rabu untuk prosiding perbicaraan kes, namun hasil perbincangan, semua pihak sepakat untuk menyelesaikan ketegangan yang dihadapi.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai hubungan antara Kalsom selaku plaintif dengan semua defendan, Nur Hidayah berkata, ukhuwah antara mereka adalah sangat baik.

“Meskipun selepas persidangan kes ini, hubungan mereka akrab kerana matlamatnya ialah penyelesaian tuntutan demi kekeluargaan,” katanya.

Kalsom (dua dari kanan) bersama empat anaknya serta ibu mentua, Aminah (berkerusi roda) hadir Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu bagi menyelesaikan kemelut tuntutan harta sepencarian lebih RM2.1 bilion secara baik.
Kalsom (dua dari kanan) bersama empat anaknya serta ibu mentua, Aminah (berkerusi roda) hadir Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu bagi menyelesaikan kemelut tuntutan harta sepencarian lebih RM2.1 bilion secara baik.

Pada prosiding ini, Kalsom diwakili peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Kalsom, 68, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!