1.9 juta penduduk Gaza hilang tempat tinggal

Penduduk Gaza yang terpaksa meninggalkan timur Khan Yunis mendirikan khemah sementara di tempat berlindung baharu. - Foto AFP
Penduduk Gaza yang terpaksa meninggalkan timur Khan Yunis mendirikan khemah sementara di tempat berlindung baharu. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Kira-kira 1.9 juta orang atau bersamaan 80 peratus daripada 2.4 juta populasi di Genting Gaza kini hilang tempat tinggal.

Angka terbaharu itu dikeluarkan penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Sigrid Kaag pada Selasa selepas Israel mengeluarkan arahan baharu pemindahan paksa ke atas penduduk Palestin yang menghadapi kempen pengeboman sengit sejak sembilan bulan lalu.

PBB menganggarkan sehingga 250,000 orang terpaksa meninggalkan al-Qarara, Bani Suhaila dan beberapa kawasan lain di Khan Yunis, selatan Gaza pada awal minggu lalu.

“Lebih sejuta diarahkan berpindah lagi dan perlu mencari tempat berlindung baharu dengan tiada jaminan keselamatan manakala seramai 1.9 juta lagi tiada tempat tinggal. Saya amat bimbang dengan perintah pemindahan baharu yang dikeluarkan di kawasan Khan Yunis,” katanya kepada Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang sehingga kini masih gagal mengambil sebarang tindakan bagi meringankan penderitaan golongan tersebut.

Menurut Kaag, perang ganas itu bukan hanya mencetuskan krisis kemanusiaan malah mengakibatkan malapetaka paling dahsyat.

Sementara itu, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric berkata, arahan pemindahan berskala besar itu melibatkan zon seluas 117 kilometer persegi di Khan Yunis dan Rafah yang mewakili kira-kira satu pertiga kawasan di enklaf tersebut.

Agensi Kerja dan Bantuan PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dalam satu kenyataan juga memaklumkan kira-kira suku juta orang terkesan perintah tersebut.

“Kami menjangkakan jumlah itu akan meningkat. Kebanyakan keluarga mula meninggalkan selatan Gaza secara berperingkat,” ujar jurucakapnya, Louise Wateridge.

Artikel Berkaitan:

Rejim Zionis sengaja mahu menambah lagi kesengsaraan penduduk Gaza yang tiada lagi tempat selamat boleh dituju setelah kebanyakan keluarga kembali semula ke kawasan Khan Yunis apabila kempen pencerobohan ke atas Rafah bermula pada Mei lalu. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!