Kerja naif taraf sistem saliran di Stadium Sultan Muhammad IV mula Ogos
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengesahkan kerja-kerja menaik taraf sistem saliran di Stadium Sultan Muhammad IV di sini akan bermula Ogos ini.
Exco Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, projek bernilai lebih RM500,000 itu sudah memasuki peringkat akhir untuk proses tender serta sebut harga.
"Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) memaklumkan kerja-kerja tersebut akan bermula Ogos ini. Saya difahamkan, sebuah kolam takungan akan dibina untuk menyimpan air setiap kali hujan.
"Air yang disimpan itu boleh dimanfaatkan untuk kerja-kerja menyiram rumput dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini pada Rabu.
Menurut beliau, apabila projek itu siap nanti ia mampu mengatasi masalah air bertakung di stadium.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu berkata, berkait dengan kerusi tempat duduk penyokong pihaknya akan melihat perkara itu dari masa ke masa.
Katanya, pertambahan itu akan mengambil kira jumlah kehadiran penyokong semasa menyaksikan saingan Liga Malaysia.
"Mengenai baik pulih padang kita akan buat penilaian dahulu kerana ia melibatkan peruntukan yang besar," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!