Lagi kes wanita mati ditelan ular sawa di Indonesia
MAKASSAR - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita ditemui maut dalam perut ular sawa yang telah menelan keseluruhan anggota badan mangsa dalam kes kedua berlaku di wilayah Sulawesi Selatan untuk tempoh sebulan.
Polis berkata, Siriati, 36, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada pagi Selasa untuk membeli ubat anaknya yang sakit sehingga mencetuskan usaha mencari oleh saudara-mara mangsa.
Suaminya, Adiansa, 30, menemui selipar dan seluar isterinya atas tanah kira-kira 500 meter dari rumahnya terletak di perkampungan Siteba, wilayah Sulawesi Selatan.
"Tidak beberapa lama selepas itu, dia ternampak seekor ular sawa masih hidup pada jarak 10 meter dari laluan utama dekat rumah mereka," kata polis.
Setiausaha kampung, Iyang memberitahu AFP bahawa Adiansa mula curiga selepas dia menyedari perut ular sawa itu sangat besar.
Dia kemudian memanggil penduduk kampung untuk membantu membelah perut reptilia itu sebelum menemui mayat Siriati.
Kes manusia ditelan ular sawa jarang berlaku di Indonesia, tetapi beberapa orang ditemui mati akibat ditelan ular sawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada bulan lalu, seorang wanita ditemui mati dalam perut ular sawa yang sedang bersalin kulit di Sulawesi Selatan.
Tahun lalu, penduduk di wilayah itu membunuh seekor ular sawa sepanjang lapan meter yang ditemui membelit dan menelan salah seorang petani di sebuah kampung berhampiran. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!