RUU Mufti bukti kerajaan perkemas tadbir urus Islam

Musa (kiri), Laporan Sinar Harian.
Musa (kiri), Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentangan tiga Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 di Dewan Rakyat bukti bahawa kerajaan memperkemas tadbir urus dan hal ehwal Islam, memperkukuh institusi keagamaan serta memartabatkan undang-undang syariah di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pindaan Seksyen 34 memudahkan proses pelantikan peguam syarie tanpa perlu melafazkan wakalah di hadapan mahkamah atau pendaftar.

Menurut beliau, ia amat memudahkan proses kerana anak guam atau peguam tidak perlu hadir berulang kali ke mahkamah hanya untuk melafazkan wakalah.

“Selain itu, pindaan Seksyen 100 untuk mengadakan peruntukan bagi penerimaan keterangan melalui teknologi komunikasi jarak jauh adalah satu pembaharuan yang amat ditunggu-tunggu.

“Ia akan memudahkan orang awam yang uzur atau berada di lokasi jauh untuk terlibat dalam prosiding mendapatkan keadilan.

“Justeru, PGSM mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di atas pembentangan tiga RUU tersebut di Dewan Rakyat,“ katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan dalam bacaan kali pertama untuk membincangkan perkara yang berhubungan dengan mufti, tata cara mengeluarkan fatwa, penentuan hukum atau doktrin syarak, penentuan arah kiblat dan permasalahan berkaitan.

Menerusi rang undang-undang berkenaan, ia juga memperincikan tentang penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.

Artikel Berkaitan:

Musa berpandangan, sebarang usaha untuk meletakkan Mahkamah Syariah kepada satu anjakan paradigma perlu disokong oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya ahli Parlimen.

“PGSM juga berharap agar langkah pindaan ini dapat dijadikan model dan diikuti negeri-negeri lain,“ ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!