Buruh didakwa pecah masuk rumah, cabul jiran

Mohd Fadhli Mukhtar, 52, (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Rabu atas dua pertuduhan pecah masuk rumah dan mencabul jiran pada 29 Jun lalu. Foto: Bernama
Mohd Fadhli Mukhtar, 52, (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Rabu atas dua pertuduhan pecah masuk rumah dan mencabul jiran pada 29 Jun lalu. Foto: Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan pecah masuk rumah dan mencabul jirannya, pada 29 Jun.

Mohd Fadhli Mukhtar, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan pecah rumah yang didiami jirannya berusia 27 tahun, untuk menyerang mangsa secara seksual di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Pengkalan Kubor Salor, di sini, pada 7 pagi 29 Jun.

Mohd Fadhli didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 455 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan didenda jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa yang sama dengan niat untuk mencabul kehormatannya pada hari, masa dan tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 10 atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ahmad Faiz Fitri memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan, memandangkan kes itu serius, namun Mohd Fadhil merayu supaya mahkamah membenarkan jaminan terhadapnya.

Hakim Zulkifli Abllah kemudiannya membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menetapkan 4 Ogos sebagai tarikh serahan dokumen. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!