Anak Sungai Bakap diseru balik kampung mengundi Sabtu ini
NIBONG TEBAL - Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang tinggal di luar kawasan diseru supaya memanfaatkan cuti panjang hujung minggu ini untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Sabtu ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang membuat seruan tersebut berharap kepulangan semua pengundi kawasan itu dapat menandingi jumlah peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lepas iaitu 77 peratus.
"Kita berharap agar peratusan keluar mengundi tidak terlalu rendah dibanding dengan PRN yang lalu.
"Di Sungai Bakap ini pengundi luarnya adalah dalam persekitaran Pulau Pinang dan yang tidak keluar mengundi itu selalunya yang tinggal jauh (luar Pulau Pinang).
"Oleh itu kepada pengundi luar, manfaatkanlah cuti panjang Sabtu, Ahad dan Isnin itu untuk balik kampung," katanya pada sidang media di Pusat Media PRK DUN Sungai Bakap di Kompleks Rakan Muda Jawi, di sini pada Rabu.
Terdahulu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya mengadakan tinjauan untuk melihat kemajuan projek yang sedang dan telah dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya di Sungai Bakap.
PRK DUN Sungai Bakap Sabtu ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.- Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!