Aplikasi pengalaman mengembara dalam lakonan
BENARLAH kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan. Kata pepatah itu mungkin sesuai dengan kisah yang dikongsikan aktor, Ben Amir.
Menurut Ben atau nama sebenarnya Muhammad Amir Sabaruddin, dia menjadikan penggembaraan sebagai hobi dan menggunakan pengalaman sepanjang tempoh bercuti itu untuk diaplikasikan dalam mana-mana karakter yang dijayakannya.
Ujar Ben, penggembaraan atau percutian yang dilakukan bukan sekadar untuk merehatkan badan semata-mata, tetapi juga peluang untuk melihat budaya dan gaya hidup orang lain.
"Selalunya saya akan perhatikan cara mereka bercakap, bergerak, berjalan, bergaul dan kemudian bila saya dapat sesuatu watak, saya akan cuba sesuaikan dan aplikasikan karakter itu dalam lakonan saya.
"Sebagai seorang pelakon, saya rasa penggembaraan atau percutian itu penting kerana ia boleh memberi inspirasi kepada kita," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya, Bawah Payung Awan untuk siaran penstriman Viu baru-baru ini.
Tambah aktor berusia 34 tahun itu, kebiasaannya dia tidak merancang sesebuah trip dan lebih suka ia berlaku secara spontan.
Bahkan, Ben juga lebih gemarkan percutian yang memberi cabaran buatnya.
"Selalunya saya sukakan percutian solo, secara bagpack dan memberi cabaran tersendiri dari segi perjalanan.
"Pernah juga berdepan pengalaman ditipu, tetapi bila kita selalu menggembara, kita akan kenal orang itu mahu tipu kita atau tidak," jelasnya.
Antara trip mencabar yang bakal dilakukan Ben dalam masa terdekat adalah mendaki ke Everest Base Camp (EBC) tidak lama lagi.
Jelas Ben, perancangan itu berlaku secara spontan dan dia bakal merakamkan misi pendakian itu bermula daripada proses awal sehingga selesai.
"Satu hari saya bangun dan terasa nak daki ke EBC, saya terus buat pencarian dan tempah tiket kapal terbang. Insya-ALLAH saya akan buat pendakian pada bulan ini.
"Setakat ini saya akan daki bersama beberapa rakan dan buat vlog sepanjang proses pendakian nanti. Ini adalah trip yang paling mencabar buat saya setakat ini," katanya yang tidak merancang untuk mendaki Gunung Everest setakat ini.
Setinggan
Dalam pada itu, berkongsi penglibatannya menerusi drama Bawah Payung Awan, Ben berkata, buat pertama kalinya dia berpeluang mencuba sesuatu yang berbeza dan mencabar.
Bukan hanya sekadar membawakan watak sebagai anak setinggan bernama Soleiman, Ben juga melalui proses penggambaran di kawasan setinggan sebenar.
"Sebelum ini kebanyakan watak yang saya bawa menjalani penggambaran di pejabat atau rumah mewah, tetapi kali ini, produksi membawa kami masuk ke kawasan setinggan.
"Saya gunakan peluang untuk berbual dan bergaul dengan penduduk di situ termasuklah tuan rumah yang menjadi lokasi utama penggambaran.
"Saya tidak bimbang dengan kecaman orang terhadap drama ini kerana kami bukan tunjukkan keburukkan anak setinggan, tetapi lebih kepada permasalahan yang mereka hadapi," jelasnya.
Tambah Ben, berlakon di bawah siaran platform penstriman memberikan lebih banyak ruang buatnya berkarya.
"Walaupun diberi kebebasan, masih ada sempadan yang saya tetapkan kerana karya kita ditonton oleh orang Melayu, masih ada batasnya.
"Malah kalau untuk siaran televisyen pun, saya tetap letakkan sempadan sampai mana saya mahu kembangkan watak yang dibawa supaya tidak berlebihan," katanya yang mengakui selektif memilih watak.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!