Petanda Joe Biden tidak lagi sesuai jadi Presiden AS
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengalami 'kemerosotan kognitif' sejak enam bulan lalu.
Pendedahan itu dibuat wartawan penyiasat terkenal, Carl Bernstein menerusi wawancara bersama CNN pada awal minggu lalu yang turut menyatakan pemimpin tersebut berdepan kelemahan fizikal yang ketara.
Keadaan itu dapat dilihat dengan jelas ketika sesi debat pusingan pertama bersama pendahulunya, Donald Trump pada minggu lalu.
Biden seperti termangu-mangu hingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan anggota Parti Demokrat, sahabat dan ahli keluarganya tentang tahap sebenar kesihatan serta keupayaan mental pemimpin berusia 81 tahun itu.
“Terdapat 15 hingga 20 insiden yang jelas menunjukkan ketidakupayaan Biden sejak lebih setahun lalu. Mereka yang rapat dan berada dalam lingkungannya termasuk wartawan juga sedar dengan situasi tersebut. Ia menjadi semakin buruk sejak enam bulan lalu,” ujarnya.
Ketika perhimpunan pertama beliau selepas sesi debat bersama Trump, beliau tidak memberi sebarang petunjuk bakal berundur malah dengan yakin menyatakan akan menewaskan bilionair hartanah tersebut.
“Saya boleh menggalas tugas ini kerana taruhannya tinggi. Trump adalah ancaman yang nyata kepada negara ini,” katanya dengan penuh semangat di Raleigh, Carolina Utara pada Jumaat lalu.
Biden turut mengakui kemerosotan prestasi beliau ketika diasak Trump pada sesi debat berlangsung panas pada Khamis lalu.
“Saya sedar bahawa saya bukan muda lagi. Saya tidak dapat bercakap dengan lancar seperti sebelum ini,” jelasnya. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!