Nilai jualan Dinar, Dirham Kelantan lebih RM120 juta

Mohamed Fadzli (empat dari kanan) menyaksikan Majlis MoA yang disempurnakan pada Rabu.
Mohamed Fadzli (empat dari kanan) menyaksikan Majlis MoA yang disempurnakan pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Dinar dan Dirham Kelantan berkembang pesat di pasaran di seluruh negara dengan nilai jualan keseluruhan direkodkan lebih RM120 juta sejak tahun 2010.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, nilai jualan itu meliputi 90,000 dinar atau syiling emas dengan berat 4.25 gram dan berketulenan 917, manakala hampir satu juta bagi dirham atau syiling perak seberat 2.975 dengan berketulenan 999.

Menurut beliau, pemasaran produk kerajaan Kelantan tersebut dibuat melalui anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Kelantan Gold Trade (KGT).

“Sekarang, satu dinar bernilai RM1,585 dan setakat ini juga, KGT juga sudah membuat pembelian semula dinar-dinar di pasaran berjumlah RM14 juta.

“Bermaksud rakyat hendak tunaikan balik dinar-dinar itu dan kita beli semula,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Cawangan Operasi Dinar Dirham dan Kempen Simpanan Progresif Penjawat Awam Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, di sini, pada Rabu.

Mohamed Fadzli turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Kerjasama Korporat menerusi Rangkaian Wakalah KGT dengan agensi Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan Koperasi Permodalan Kelantan Berhad (KoPKB).

Beliau berkata, KGT mempunyai 100 Saudagar Dinar Dirham iaitu ejen atau wakil jualan individu bagi produk dinar dan dirham Kerajaan Negeri Kelantan.

Katanya, ejen tersebut bagaimanapun tidak memegang stok kerana KGT mengawal harga dinar dirham terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Nilai semasa dinar dan dirham boleh dilihat melalui laman sesawang atau sistem elektronik dinar dirham (e-DnD) yang juga perkhidmatan penyimpanan emas secara digital.

“Apabila mereka tidak memegang stok, kerajaan dapat mengawal harga yang lebih konsisten, maka tidak terjadi manipulasi pihak luar atau kenaikan harga tidak sepatutnya,” kata Mohamed Fadzli.

Tambah beliau, kadar kenaikan emas yang dijangka meningkat antara 10 peratus hingga 15 peratus menjelang akhir tahun ini menjadikan aset itu sebagai pilihan simpanan terbaik.

“Kami juga melancarkan kempen kesedaran bagi membantu penjawat awam agensi kerajaan Kelantan melakukan simpanan progresif secara konsisten melalui potongan gaji sebagai simpanan persaraan.

“Langkah ini dapat memastikan rakyat memperoleh manfaat kenaikan harga emas pada masa depan sekali gus menjamin pendapatan dan memperkukuh kedudukan ekonomi mereka,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!