Guna Toyota Hilux berlogo palsu curi kabel

Hanyan menunjukkan Toyota Hilux yang menggunakan logo palsu untuk mencuri kabel. Gambar kanan: Hanyan (kiri) menunjukkan alatan dan kabel yang dicuri.
Hanyan menunjukkan Toyota Hilux yang menggunakan logo palsu untuk mencuri kabel. Gambar kanan: Hanyan (kiri) menunjukkan alatan dan kabel yang dicuri.
A
A
A

KEMAMAN - Taktik tiga lelaki menggunakan kenderaan yang memakai logo palsu bagi sebuah syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi untuk mencuri kabel terbongkar apabila diberkas polis di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, dua anggota dari Balai Polis Chukai sedang melaksanakan rondaan pencegahan jenayah telah terserempak dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bewarna merah menggunakan logo palsu dalam keadaan mencurigakan.

"Kenderaan yang dinaiki tiga lelaki yang berumur lingkungan 30-an hingga 40-an itu berada di 'ibu sawat' Tenaga Nasional Berhad (TNB) di tepi jalan utama hadapan Masjid Bandar Cheneh Baru.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua unit pemotong kabel berwarna kuning yang disyaki digunakan untuk mencuri kabel," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hanyan berkata, reman telah dipohon kepada kesemua suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Kemaman selama empat hari bermula Selasa lepas.

Hanyan (dua dari kanan) ketika sidang akhbar
Hanyan (dua dari kanan) ketika sidang akhbar

Dalam pada itu, beliau berkata, modus operandi melibatkan lapan hingga 15 orang itu dengan tindakan menyamar sebagai pekerja atau petugas penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menjalankan kegiatan jenayah tersebut.

"Bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang lagi, sepatutnya petugas yang ingin bekerja waktu malam haruslah melaporkan kepada balai polis yang berdekatan bagi memudahkan pihak polis memantau kegiatan mereka," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hasil siasatan awal juga membawa kepada penyelesaian terhadap 11 kes curi kabel di kawasan daerah Kemaman.

Justeru, Hanyan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkenaan kes tersebut supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui talian Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman iaitu 09-8592222.

Selain itu katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kemaman, Asisten Superintenden Sayed Mohd Faizal di talian 013-2818787 untuk melaporkan kejadian sedemikian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!