Penerapan ESD perkasa pelajar sebagai ejen perubahan proaktif - Fadhlina

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penerapan prinsip Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) ke dalam rangka kerja pendidikan akan membolehkan golongan muda mengaplikasikan pembelajaran mereka dengan bermakna, sekali gus memperkasa pelajar sebagai ejen perubahan proaktif, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, prinsip ESD juga akan melengkapkan pelajar dengan kemahiran berfikir kritis dan kesedaran etika untuk menangani cabaran global seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti, kemiskinan dan ketidaksamaan.

"Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengumpulkan rakan-rakan strategik ESD kebangsaan terdiri daripada ahli akademik, persatuan berkaitan dan sektor swasta.

"Kami bekerjasama dengan UN-SDSN (Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, GreenGrowth Asia Foundation, Amanah Lestari Alam dan pakar-pakar dari Universiti Sunway, Universiti Malaya dan Universiti Nottingham Malaysia bagi membangunkan penyelesaian yang berkesan untuk melaksanakan ESD di Malaysia," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Ketua Jabatan Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa KPM, Fadzilah Fadzil.

Fadzilah mewakili Fadhlina dalam majlis perasmian Mesyuarat Serantau Asia Pasifik ESD untuk 2030 di Universiti Sunway di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengucapkan tahniah kepada Yayasan Jeffrey Cheah (JCF) kerana membiayai pembangunan dan pelaksanaan program pembangunan profesional ESD untuk guru-guru di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.

"Program ini disesuaikan untuk Malaysia dan dibiayai oleh JCF, yang bertujuan memperkasa semua guru untuk mengintegrasikan ESD ke dalam pengajaran mereka, tanpa mengira subjek mereka," katanya sambil menambah yayasan itu telah bersetuju untuk membiayai program tersebut bagi 30 sekolah lagi.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat Serantau Asia Pasifik ESD 2030 dianjurkan UNESCO dan UN-SDSN bersama-sama KPM dan Suruhanjaya Kebangsaan Malaysia UNESCO, serta disokong oleh JCF, Universiti Sunway dan kerajaan Jepun menerusi Japanese Funds-in-Trust (JFIT).

Mesyuarat yang melibatkan kira-kira 100 delegasi terdiri daripada penggiat transformasi pendidikan dari lebih 25 negara itu merupakan pertemuan berulang dan kali ini diadakan selama tiga hari, dari 2 hingga 4 Julai.

Turut hadir pengasas dan pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!