Singapura sedia iktiraf negara Palestin pada masa sesuai

Vivian Balakrishnan. Foto fail Reuters
Vivian Balakrishnan. Foto fail Reuters
A
A
A

SINGAPURA – Pemerintah Singapura bersedia untuk mengiktiraf negara Palestin pada masa yang sesuai, menurut Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan di Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata, pertimbangan utama Singapura ialah langkah sedemikian harus membantu kemajuan ke arah keamanan dan penyelesaian antara Israel-Palestin.

Pada 10 Mei lalu, Singapura menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mempertimbangkan keanggotaan Palestin.

Balakrishnan memberitahu Singapura membuat undian itu selepas pertimbangan teliti dengan harapan Palestin dan Israel menyambung semula rundingan damai bagi mencari jalan penyelesaian.

Menurutnya, tahap sokongan Singapura kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) juga tidak bergantung kepada pengiktirafan rasmi terhadap negara itu.

“Singapura akan terus berhubung dengan PA dan melaksanakan pakej bantuan teknikal bernilai S$10 juta (RM35 juta),” katanya.

Setakat ini, Singapura telah melatih lebih 750 pegawai Palestin dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi, pengurusan ekonomi dan perancangan bandar.

Jelasnya, mereka juga menyediakan biasiswa untuk pegawai Palestin melanjutkan pengajian pascasiswazah di universiti tempatan dan terdapat tiga penerima pada tahun ini. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!