Kes rogol: Da'i Syed tarik balik rayuan

Da'i Syed
Da'i Syed
A
A
A

PUTRAJAYA - Pendakwah selebriti Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkannya membela diri atas pertuduhan merogol seorang wanita, lima tahun lepas.

Peguam Johan Radzi memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu Syed Shah Iqmal tidak mahu meneruskan rayuan dan ingin menarik balik rayuan berkenaan.

"Perayu sebelum ini telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan perayu daripada pertuduhan merogol.

"Perayu sudah membela diri atas pertuduhan berkenaan dan keputusan di akhir kes pembelaan ditetapkan pada Ogos ini. Rayuan perayu kini bersifat akademik,” kata peguam itu yang memaklumkan bagi pihak peguam utama perayu Syed Amirul Syed Edros, yang tidak dapat hadir pada prosiding hari ini kerana hal kecemasan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad berkata, rayuan Syed Shah Iqmal tidak lagi kompeten, berikutan perayu sudah membela diri.

Pada prosiding itu, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk S M Komathy Suppiah, membatalkan rayuan berkenaan.

Menerusi semakan sistem mahkamah, kes itu ditetapkan untuk keputusan pada 30 Ogos di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Norazlin Othman.

Pada 10 April tahun lepas, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal, 28, daripada pertuduhan merogol selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 1.35 malam, pada 11 Sept 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!