Belum ada keperluan bawa pulang pasukan MALBATT 850-11 di Lubnan

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Luar Negeri (KLN) menjelaskan belum terdapat keperluan untuk membawa pulang Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) bagi misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, susulan kebimbangan terhadap konflik di Timur Tengah.

Bagaimanapun Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah-langkah evakuasi telah pun dirancang sekiranya diperlukan.

"Tidak ramai rakyat kita bermastautin di Lubnan. Yang ramai adalah pasukan MALBATT 850-11," katanya menerusi sidang akhbar selepas melancarkan Inisiatif Kemanusiaan Untuk Palestin di Wisma Putra pada Rabu.

Mohamad berkata, Wisma Putra sentiasa meneliti perkembangan di Gaza dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, keselamatan anggota tentera Malaysia di Lubnan masih dalam keadaan baik.

"Kita sentiasa berkomunikasi setiap hari untuk mengetahui perkembangan terkini. Setakat ini belum ada keperluan lagi untuk bawa balik tentera dari Lubnan," katanya.

Ujar beliau, sebarang pengunduran tentera akan dilakukan oleh pasukan pengaman PBB.

"Buat ketika ini belum ada keperluan kerana keadaan masih terkawal," jelas Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu pada Selasa, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia di Timur Tengah segera mendaftarkan diri ke Kedutaan Malaysia terdekat dalam masa terdekat.

Langkah tersebut bagi memudahkan pihak kedutaan untuk memanjangkan bantuan konsular dengan segera sekiranya perlu.

Agensi berita Antarabangsa, Anadolu melaporkan beberapa negara menyeru rakyat mereka meninggalkan Lubnan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah.

Antara negara mengambil langkah itu, Arab Saudi, Australia, Jerman, Kanada, Amerika Syarikat, Ireland, Jordan dan United Kingdom.

Kedutaan Arab Saudi di Beirut pada Sabtu menggesa rakyatnya yang kini berada di Lubnan meninggalkan wilayah itu dengan segera dan menekankan keperluan untuk terus berhubung dengan kedutaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Amaran itu dibuat selepas Kuwait menggesa rakyatnya pada 22 Jun untuk mengelak perjalanan ke Lubnan dan mereka yang berada di dalam negara itu meninggalkan negara itu secepat mungkin memandangkan situasi keselamatan yang berlaku di rantau berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!