Azeem dapat tiket 'wild card' ke Paris
JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dipilih mendapat tiket 'wild card' untuk bertanding dalam acara 100 meter (m) di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, hujung bulan ini.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengumumkan perkara tersebut selepas keputusan dicapai dalam mesyuarat kesatuan itu pada Selasa.
Keputusan itu sekali gus mengenepikan pelari 400m wanita negara, Shereen Samson Vallabouy yang turut diletakkan sebagai antara pilihan untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.
Menurutnya, pemilihan Azeem berdasarkan kelayakan slot 'wild card' tersebut yang diberikan khusus untuk acara 100m, 800m dan maraton.
"800m dan maraton kita tidak ada (atlet) dan yang ada cuma 100m. Jadi, kita kena buat pilihan kepada siapa yang harus kita berikan. Kita boleh berikan kepada Azeem kerana dia memang pelari 100m.
"Kita juga boleh pertimbangkan kepada Shereen, tetapi dia kena lari untuk 100m walaupun dia pelari 400m.
"Memang berat untuk buat keputusan ini, tetapi kita kena lakukan berdasarkan tawaran pihak Olimpik berdasarkan kategori 'wild card' itu. Maka KOM telah memutuskan 'wild card' itu diberikan kepada Azeem," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum ini, Azeem gagal layak secara merit ke Olimpik selepas tidak dapat melakukan larian sekurang-kurangnya 10 saat (s) yang merupakan kriteria ke temasya sukan itu.
Dalam pada itu, Shahidan turut meminta semua pihak positif dengan keputusan yang telah dilakukan oleh KOM itu.
"Siapa sahaja yang kita pilih, kita harap kesannya positif untuk masa depan yang lebih cemerlang. Siapa yang tidak terpilih, ia memerlukan usaha untuk ke arah yang lebih cemerlang," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!