Jurutera ditemui nazak sebelum meninggal dunia dalam kereta

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KEMAMAN - Seorang jurutera ditemui dalam keadaan nazak dalam sebuah kereta sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tepi jalan di susur keluar Tol Jabor dari arah Kuala Terengganu, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lelaki tempatan yang berusia lingkungan 40 tahun itu ditemui dalam kereta dengan keadaan enjin masih hidup oleh orang awam.

"Kita menerima panggilan dari Bilik Gerakan LPT 2 menyatakan ada sebuah kereta tersadai di tepi jalan.

"Semasa kejadian mangsa masih hidup dan berada dalam keadaan nazak sehingga disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang memeriksa mangsa sebaik tiba di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Hanyan berkata, setakat ini siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah melibatkan mangsa.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.

"Polis masih menunggu laporan forensik mangsa selain keluarga mangsa juga telah dimaklumkan tentang kejadian tersebut.

"Kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!