Aktiviti penipuan penjualan minyak masak dalam talian masih berlaku - KPDN

Aktiviti penipuan penjualan minyak masak paket secara dalam talian didapati masih lagi berlaku berdasarkan pemantauan KPDN. Gambar hiasan
Aktiviti penipuan penjualan minyak masak paket secara dalam talian didapati masih lagi berlaku berdasarkan pemantauan KPDN. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Aktiviti penipuan penjualan minyak masak paket secara dalam talian didapati masih lagi berlaku berdasarkan pemantauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, menurut statistik penguatkuasaan yang bermula 4 Julai 2022 sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 71 pemeriksaan fizikal telah dilakukan di seluruh negara, manakala sebanyak 14 aduan yang berkaitan telah diterima dalam tempoh yang sama.

"Daripada jumlah itu, lima tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) telah dilakukan ke atas pihak yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian melibatkan nilai rampasan berjumlah RM1,796.10.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah berurus niaga barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen yang sah, menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan, serta gagal menyelenggara buku stok barang kawalan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, modus operandi aktiviti scam penjualan minyak masak yang dikesan oleh pihak KPDN adalah memperdayakan mangsa dengan menawarkan minyak masak paket dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.

Di samping itu, scammer juga dipercayai akan mengumpan mangsa dengan pengiklanan mengelirukan di laman media sosial dan tapak pasar dalam talian memandangkan minyak masak paket mendapat permintaan yang tinggi.

Azman berkata, KPDN juga telah bekerjasama dengan pengendali tapak pasar dalam talian dalam negara bagi memastikan aktiviti scammer serta penyelewengan minyak masak yang dilakukan secara dalam talian itu dapat diatasi dengan lebih berkesan.

"Hasilnya, sebanyak 225 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian telah berjaya dinyahturun bagi tempoh 4 Julai 2022 hingga 30 Jun lepas,” kata Azman.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau menegaskan KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk yang dijual secara dalam talian.

Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta 122 dan syarikat berkaitan juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Beliau turut mengingatkan pengguna agar lebih berwaspada apabila melihat tawaran iklan pembelian minyak masak paket murah yang dipaparkan, terutamanya secara dalam talian bagi mengelakkan daripada diperdaya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!