Tasik Bukit Merah kering, Perak mohon pembenihan awan

Situasi terkini keadaan Tasik Bukit Merah yang dirakam JPS menunjukkan penyusutan paras air yang ketara. Foto JPS Perak
Situasi terkini keadaan Tasik Bukit Merah yang dirakam JPS menunjukkan penyusutan paras air yang ketara. Foto JPS Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mengemukakan cadangan untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Tasik Bukit Merah, Bagan Serai yang mengalami kekeringan akibat cuaca panas sejak minggu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penyusutan paras air yang ketara di kawasan itu telah menjejaskan pengairan tanaman padi terutama di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) Kerian.

"Kaedah sama pernah kita lakukan sebelum ini. Jadi kita akan mohon kepada kerajaan Pusat untuk lakukan pembenihan awan.

"Namun ada beberapa aspek perlu diambil kira sebab jika hujan berterusan dan dapat memenuhi takungan itu, maka bolehlah menampung pengairan.

"Jika hujan hanya sedikit dan keadaan kering semula, maka kita perlu mencari alternatif lain bagi menyelesaikan isu utama masalah pengairan di situ," katanya kepada pemberita sempena Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Berdasarkan maklumat dikongsi Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kerian, paras air Empangan Bukit Merah mulai menyusut ke 6.096 meter iaitu aras henti bekalan pengairan.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) pengendalian Empangan Bukit Merah, kesemua bekalan air ke sawah akan dihentikan sementara waktu sehingga paras air empangan kembali pulih dan bekalan hanya akan bertumpu kepada loji-loji rawatan air milik Lembaga Air Perak (LAP) sahaja.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, jawatankuasa teknikal yang dianggotai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), JPS dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengenal pasti langkah jangka pendek yang boleh diambil bagi mengatasi isu tersebut yang boleh dikatakan berlaku setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri telah menerima banyak cadangan dan pandangan bagi penyelesaian masalah tersebut, namun ada sebahagiannya tidak boleh dilaksanakan atas sebab teknikal.

"Kita berterima kasih dan mengambil kira pandangan semua pihak. Oleh kerana ia membabitkan teknikal maka kita perlu terlebih dahulu mendapat pandangan daripada jabatan-jabatan teknikal," katanya.

Beliau memberitahu, penyelesaian jangka masa panjang mengatasi masalah pengairan di situ adalah melalui pelaksanaan projek kerajaan Pusat bagi membina terowong dari Sungai Perak ke Bukit Merah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!