PM terima kunjungan hormat Sheikh Al-Azhar Al-Sharif di Seri Perdana

Anwar menerima kunjungan hormat Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb (kiri) di Kompleks Seri Perdana, pada Rabu. Foto Bernama
Anwar menerima kunjungan hormat Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb (kiri) di Kompleks Seri Perdana, pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu menerima kunjungan hormat Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, yang dalam rangka lawatan khas empat hari ke Malaysia atas undangan pemimpin nombor satu negara itu.

Sheikh Al-Azhar tiba di Kompleks Seri Perdana di sini, yang merupakan kediaman rasmi Perdana Menteri, pada jam 6.30 petang.

Turut menyertai sesi itu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Semalam, pesawat khas yang membawa Sheikh Al-Azhar selamat mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 10.42 malam.

Penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2020/1442H itu turut dijadual menghadiri dan memberi ucapan pada Majlis Ilmu Madani: "Distinguished Speaker Series” malam ini.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan lawatan khas oleh Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia dan Republik Arab Mesir.

Lawatan itu juga membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!