Gelombang ketiga banjir landa Timur Laut Bangladesh

Banjir dahsyat yang merupakan gelombang ketiga banjir dalam tempoh kurang dari sebulan di rantau ini telah menenggelamkan kawasan yang luas di bahagian timur laut Bangladesh.
Banjir dahsyat yang merupakan gelombang ketiga banjir dalam tempoh kurang dari sebulan di rantau ini telah menenggelamkan kawasan yang luas di bahagian timur laut Bangladesh.
A
A
A

DHAKA - Banjir dahsyat yang merupakan gelombang ketiga banjir dalam tempoh kurang dari sebulan di rantau ini telah menenggelamkan kawasan yang luas di bahagian timur laut Bangladesh.

Lebih daripada sejuta orang di Daerah Timur Laut Bangladesh termasuk Sylhet dan daerah berhampiran Sunamganj dan Moulvibazar terkandas akibat banjir yang meluas selepas beberapa hari hujan lebat.

Sheikh Russel Hasan, Pegawai Daerah dan Majistret Daerah di Sylhet memberitahu Xinhua pada Rabu bahawa gelombang banjir terbaru yang dicetuskan oleh hujan lebat telah menenggelamkan kawasan rendah di bahagian Wilayah Sylhet.

"Lebih kurang 800,000 orang di Daerah Sylhet kini berdepan dengan gelombang ketiga banjir," katanya, sambil menambah bahawa puluhan ribu orang kehilangan tempat tinggal di bahagian rendah timur laut negara itu.

Menurut pegawai berkenaan, hujan lebat yang berpanjangan dan aliran air dari kawasan bukit di sempadan India menyebabkan sungai-sungai utama di rantau ini melimpah melebihi paras bahaya mereka.

Paras air di 90 stesen sungai yang dipantau oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (FFWC) negara Asia Selatan itu dilaporkan meningkat manakala 19 stesen mencatatkan penurunan.

Jurutera Eksekutif FFWC, Sardar Udoy Raihan meramalkan situasi banjir di Wilayah Sylhet akan berpanjangan kerana hampir seluruh negara mengalami hujan lebat yang dicetuskan oleh monsun aktif.

Sylhet dilaporkan mencatatkan 294 mm hujan dari pukul 6.00 pagi Isnin hingga 6.00 pagi Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Jika hujan bertambah, banjir akan bertambah buruk di Sylhet. Kini sudah hujan di Sylhet. Sungai-sungai mengalir melebihi paras amaran mereka," kata Jurutera Eksekutif "Sylhet Water Development Board”, Deepak Ranjan Das, seperti yang dipetik dalam laporan di bdnews24.com pada Selasa.

Pegawai berkata, setakat ini tiada kecederaan atau kematian yang diketahui berlaku di daerah-daerah terkesan akibat banjir yang sedang berlangsung.

Jutaan orang di Bangladesh yang kediaman mereka direntasi oleh ratusan sungai, menderita akibat banjir kerana negara bertanah rendah ini mengalami banjir bermusim setiap tahun semasa monsun Jun-September apabila sungai-sungai yang mengalir ke Teluk Bengal melimpah.

Bulan lepas, banjir kilat mengakibatkan lebih daripada dua juta orang dipindahkan semasa dua gelombang banjir di rantau ini, yang menjejaskan ratusan kawasan dan menyebabkan penderitaan yang tidak terkira kepada penduduk. - Bernama-Xinhua

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!