Suara rakyat bukan suara politik kebencian - Hamzah

Poster yang dimuat naik Hamzah menerusi hantaran di Facebook pada Rabu. Hamzah Zainudin (kiri).
Poster yang dimuat naik Hamzah menerusi hantaran di Facebook pada Rabu. Hamzah Zainudin (kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menganggap pihak yang menyuarakan pendapat dan rasa kecewa terhadap kenaikan harga diesel sebagai politik kebencian adalah tidak wajar.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, teguran rakyat terhadap beberapa isu berkait pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan luahan mengenai beban yang terpaksa ditanggung kini.

"Apakah rintihan rakyat yang meluahkan rasa kecewa mereka kerana menjadi mangsa kenaikan harga diesel RM3.35 seliter dianggap politik kebencian?.

"Apakah bila rakyat bangkit menuntut janji turun harga minyak daripada PMX dilabelkan politik kebencian?

"Apakah bila rakyat menegur kerajaan kerana berurusniaga dengan BlackRock melibatkan penjualan saham sehingga 30 peratus aset strategik negara iaitu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang membabitkan syarikat menyokong genosid Israel dan tidak dilakukan secara tander terbuka merupakan politik kebencian?" katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Anwar meluahkan kebimbangan terhadap persekitaran politik kebencian yang semakin menebal di negara ini sehingga fakta tidak dipedulikan sama sekali.

Menurut beliau, apa sahaja yang dilakukan kerajaan akan dikritik dan dikecam habis-habisan.

Dalam pada itu Hamzah berkata, Anwar diingatkan supaya tidak mudah lupa diri apabila mendapat kuasa dan suara rakyat tidak dianggap sebagai sebahagian daripada politik kebencian.

Artikel Berkaitan:

“Apakah kerana rakyat menegur kerajaan Madani cakap tak serupa bikin... kononnya mahu banteras rasuah tapi bekas menteri yang terkait dengan kes rasuah hampir RM100 juta langsung tidak didakwa.

“Kononnya mahu banteras rasuah, tapi desakan supaya kekayaan luar biasa bekas setiausaha politik disiasat tidak diendahkan.

"Kononnya mahu banteras rasuah, tapi sekadar pandang sebelah mata kontroversi Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) libatkan suami seorang menteri dianggap politik kebencian?

"Sebenarnya banyak lagi kalau hendak disenaraikan. Jangan mudah lupa diri bila ditampuk kuasa. Suara rakyat bukan suara politik kebencian. Suara rakyat, suara keramat," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!