Kunjungan Sheikh Al-Azhar ke Malaysia penghormatan besar untuk negara - PM

Anwar (kanan) pada Majlis Ilmu MADANI yang disampaikan oleh Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb di Kompleks Seri Perdana pada Rabu. Foto Bernama
Anwar (kanan) pada Majlis Ilmu MADANI yang disampaikan oleh Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb di Kompleks Seri Perdana pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan khas Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb ke Malaysia sebagai penghormatan besar kepada negara kerana menerima kunjungan seorang tokoh dan imam besar yang dihormati dan dimuliakan oleh dunia Islam.

Beliau berkata, Sheikh Al-Azhar, kini dalam rangka lawatan empat hari ke Malaysia hingga Jumaat, dikenali sebagai ketua ilmu yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia Islam sejak sekian lama.

"Saya bagi pihak rakan-rakan terutama dari pihak Kerajaan Malaysia berasa terharu kerana undangan saya tatkala bertemu dengan Imam Besar Al-Azhar Al-Sharif, beliau terus menerima dan mengatur pertemuan pada malam ini," katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Ilmu MADANI: Distinguished Speaker Series di sini yang dihadiri lebih 400 tetamu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Perdana Menteri berkata, selain berpendirian tegas dalam isu Palestin, Sheikh Al-Azhar juga sangat arif mengenai permasalahan semasa.

"Beliau mahu umat Islam ke depan dalam soal digital, kecerdasan buatan, peralihan tenaga dan juga dalam hal ini, maknanya beliau minta supaya umat Islam jangan ketinggalan bidang-bidang penerokaan alam pemikiran teknologi baru.

"Sebab itu beliau juga akan terlibat secara langsung dalam perhimpunan The World Future's Summit di New York.

"Ini bagi saya satu peranan yang besar kepada kekuatan Islam, terikat kepada akidah dan akhlak Islam tetapi masih terus maju untuk membawa serta menuntut perubahan umat Islam dalam bidang-bidang yang perlu diterokai.

"Sebab itu bagi saya, kehadiran beliau insya-Allah akan beri manfaat kerana menekankan kepentingan peningkatan kefahaman Islam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Lawatan khas Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Arab Mesir selain membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik.

Sementara itu, Sheikh Al-Azhar dalam syarahan beliau bertajuk 'Peranan Akhlak dan Toleransi Dalam Pembangunan Negara MADANI' menyeru rakyat Malaysia untuk menjaga keharmonian dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa.

"Saya juga ingatkan kalian yang hadir untuk mengambil pedoman daripada Nabi Muhammad SAW dari aspek pergaulan sesama muslim serta antara muslim dan bukan muslim," katanya dalam Bahasa Arab yang diterjemah ke Bahasa Melayu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!