Antara sekat atau terima pelaburan BlackRock

Ramai ahli politik dan individu berkepentingan menyuarakan pandangan mereka tentang penolakan BlackRock dalam mana-mana pegangan saham melibatkan lapangan terbang negara.
Ramai ahli politik dan individu berkepentingan menyuarakan pandangan mereka tentang penolakan BlackRock dalam mana-mana pegangan saham melibatkan lapangan terbang negara.
A
A
A

SEMENJAK timbul isu Global Infrastructure Partners (GIP) milik penuh syarikat pelaburan dari Amerika Syarikat (AS), BlackRock bakal memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), ia tidak berhenti diperkatakan sehingga kini.

Hal berkenaan semakin menjadi tumpuan apabila GIP dikatakan pemegang saham kepada syarikat pembekal senjata yang membunuh rakyat Palestin di Gaza.

Oleh yang demikian, ramai ahli politik dan individu berkepentingan menyuarakan pandangan mereka tentang penolakan BlackRock dalam mana-mana pegangan saham melibatkan lapangan terbang negara.

Dalam hal ini, ada pihak turut menggesa kerajaan untuk menghentikan sebarang urus niaga bersama BlackRock kerana dikatakan bertentangan dengan pendirian negara yang berdiri teguh mempertahankan nasib Palestin.

Bagaimanapun, tidak mudah untuk menghentikan sebarang urus niaga dengan BlackRock kerana syarikat itu telah lama melabur dalam saham ekuiti banyak syarikat terkemuka tempatan.

Perbincangan mengenai urus niaga bersama BlackRock ini turut mendapat perhatian pakar ekonomi yang membicarakan tentang implikasi jika hentikan urus niaga dan pendekatan lain bagi mengurangkan kebergantungan dengan syarikat negara asing.

SOKONG

Saya tidak nafikan dari segi pengaruh ekonomi, BlackRock sangat terkenal dengan kepakaran mengurus, membawa manfaat kepada ekonomi secara modal, aliran dan sebagainya, namun ia tidak mengamalkan etika syariah dalam urus niaga.

Artikel Berkaitan:

Memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menyebut perihal reformasi, jadi saya berpandangan negara-negara Islam perlu mereformasi sektor ekonomi dan keluar daripada kebergantungan kepada kaedah ekonomi diperkenalkan BlackRock.

Ini kerana kebanyakan negara Islam termasuk Malaysia ketika ini belum mencapai kemerdekaan ekonomi kerana gagal menguruskan sumber masing-masing. Jadi saya rasa, ini merupakan masa terbaik untuk Malaysia menjadi yang terawal memimpin industri kewangan berlandaskan syariah.

Malaysia boleh mulakan dengan mewujudkan takaful, perbankan Islam yang berlandaskan prinsip syariah. Dengan mulakan langkah ini, saya yakin ramai pelabur dari negara Islam akan tertarik selagi mana ia mematuhi prinsip itu.

Seterusnya, untuk mengurangkan kebergantungan kepada negara asing adalah dengan mewujudkan dana kekayaan negara. Kita sebenarnya boleh menguruskan dana ini secara profesional dan teratur dengan kerjasama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Azizul
Azizul

Di samping itu, peningkatan kapasiti kepada pasaran modal tempatan juga memainkan peranan kerana kita boleh membangunkan, memperkasakan pasaran modal, menarik pelabur tempatan dan antarabangsa. Semua ini boleh dilakukan dengan memperbaiki, meningkatkan ketelusan infrastruktur, pasaran, pelaburan dan sebagainya.

Saya juga berpandangan bahawa kita boleh kembangkan dalam pelaburan ekonomi nyata. Kita beri fokus terhadap pelaburan yang memberi impak kepada ekonomi seperti pertanian dan tenaga. Pelaburan ini diharapkan boleh meningkatkan ketahanan ekonomi negara kepada pasaran kewangan global.

Kita juga boleh menggalakkan pelaburan dalam negeri iaitu dengan memberikan insentif kepada syarikat-syarikat tempatan untuk melabur dalam infra fiskal, pembiayaan mikro dan makro serta menyokong perkembangan perusahaan kecil dan sederhana dalam kalangan kita terutama melibatkan negara-negara Islam dan sebagainya.

* Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad

Bangkang

Desakan untuk menghentikan urusniaga dengan BlackRock tidak wajar kerana ia merupakan sebuah syarikat pengurusan risiko yang menekankan pendekatan teknologi dan berdasarkan data kepada risiko dan pengurusan aset serta telah melabur dalam pelbagai sektor dan industri saham ekuiti melibatkan 100 buah syarikat tempatan termasuk kewangan dan perbankan.

BlackRock juga memainkan peranan penting dalam inovasi pengurusan aset dan membekalkan pelbagai produk pelaburan seperti amanah saham, saham pertukaran perdagangan, perkhidmatan pengurusan aset kepada pelabur-pelabur tempatan.

Bukan itu sahaja, ia turut bekerjasama dengan institusi dan pasaran kewangan untuk menawarkan penyelesaian pelaburan yang sejajar dengan keperluan pasaran tempatan.

Melihat kepada perihal berkenaan, adalah mustahil untuk kerajaan menghentikan sebarang dagangan dengan BlackRock kerana pada akhirnya ia akan memberi implikasi kepada negara.

Antara perkara yang boleh saya kongsikan, ialah negara akan kehilangan pelaburan yang sangat diperlukan terutamanya dalam sektor kewangan, infrastruktur, modal insan dan teknologi.

Siong Hook
Siong Hook

Jika urus niaga ini dihentikan, ia turut berupaya menjejaskan mata wang negara kerana sejumlah besar wang berpindah keluar yang mana, BlackRock menjual mata wang domestik untuk membeli mata wang asing. Keadaan ini secara langsung meningkatkan penawaran mata wang domestik dalam pasaran pertukaran asing. Akibatnya, kadar pertukaran mata wang domestik akan terjejas.

Bukan itu sahaja, implikasi lain ialah pelabur asing tidak mempunyai keyakinan kerana pelaburan mereka bukan bersifat jangka masa panjang tetapi boleh berhenti pada bila-bila masa sahaja.

Justeru, jika ada pelabur yang berhenti, ia akan menghantar isyarat negatif kepada pelabur lain yang berpotensi mencetuskan pengeluaran modal selanjutnya.

Kehilangan keyakinan ini boleh menjejaskan nama baik negara dan menjadikannya lebih mencabar untuk menarik pelaburan asing pada masa hadapan di samping negara mungkin mengalami kos pinjaman lebih tinggi disebabkan keyakinan pelabur asing berkurangan.

*Ahli ekonomi Pusat Pengajian Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Law Siong Hook

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!