Rekaan baju dari Malaysia 'mendunia'

Rekaan pakaian daripada Rizman Ruzaini baru-baru ini tular gara-gara dipakai oleh artis terkenal dari luar negara iaitu Lady Gaga ketika mengadakan persembahan di Las Vegas.
Rekaan pakaian daripada Rizman Ruzaini baru-baru ini tular gara-gara dipakai oleh artis terkenal dari luar negara iaitu Lady Gaga ketika mengadakan persembahan di Las Vegas.
A
A
A

PADA 23 Jun lalu, telah berlangsungnya majlis memperkenalkan pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun di sebalik pelancaran itu, ramai tampil mengecam kerana rekaan yang ditonjolkan untuk baju atlet Malaysia dianggap tidak bersesuaian untuk digayakan di luar negara.

Malah ada netizen di media sosial membuat sendiri rekaan baju baharu dan mendapat pujian ramai yang menyifatkan ia jauh lebih cantik daripada asal.

Segelintir pengguna media sosial turut menyalahkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas rekaan yang dilihat agak ketinggalan zaman itu.

Namun Menterinya, Hannah Yeoh tampil menjelaskan bahawa pihak kementeriannya tiada kaitan dalam pemilihan rekaan sebaliknya ia diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Tetapi pada Selasa lalu, MOM tampil memperkenalkan rekaan baju baharu yang tampil dengan corak belang harimau lebih garang selepas menerima kecaman hebat daripada peminat sukan tanah air.

Corak baharu yang dipilih berlatarbelakangkan warna hitam dengan belang Harimau berwarna kuning lebih jelas dan besar pada sebelah hadapan dan belakang jaket.

Malah rekaan kali ini turut menonjolkan logo MOM dengan Jalur Gemilang dalam warna asli, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu sekali gus dilihat berjaya 'melembutkan' hati ramai netizen yang sebelum ini lantang membantah rekaan itu.

Artikel Berkaitan:

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memaklumkan, perubahan tersebut dilakukan susulan maklum balas terhadap reka bentuk dan motif sebelum ini yang dilihat tidak menyerlah.

Mohamad Norza berkata, corak dan motif lebih terang itu diharapkan bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen, malah yang lebih penting melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian atlet untuk berjuang atas nama negara.

Tindakan MOM yang bertindak menukar rekaan baju kontinjen Malaysia wajar dipuji kerana mengambil maklum segala kecaman dan komen yang diterima dari sudut positif.

Walaupun ada segelintir berpendapat rekaan baju bukanlah isu besar, sebaliknya paling penting adalah pingat yang bakal dibawa pulang atlet dari temasya sukan itu.

Namun sebenarnya rekaan yang cantik dan mempunyai ‘jiwa’ boleh menaikkan semangat atlet serta memberi tanggapan pada pihak luar bahawa kita bukan sahaja jaguh dalam bidang sukan malah turut hebat dalam bidang rekaan.

Jika bekerjasama dengan pereka fesyen tempatan juga mungkin dapat memberi nafas baharu dalam baju rasmi sukan negara selepas ini.

Malaysia mempunyai ramai pereka fesyen yang tidak kurang hebatnya. Sebut sahaja Datuk Bernard Chandran, Melinda Looi atau Rizman Ruzaini, ramai yang sudah tahu hasil rekaan yang ditampilkan mereka tidak pernah mengecewakan.

Malah rekaan pakaian daripada Rizman Ruzaini baru-baru ini turut tular gara-gara dipakai oleh artis terkenal dari luar negara iaitu Lady Gaga ketika mengadakan persembahan di Las Vegas.

Penyanyi yang sebelum ini terkenal dengan fesyen pelik itu tampil cukup elegan dengan busana warna merah hasil rekaan pereka fesyen dari Malaysia. Ia mendapat pujian ramai yang berbangga dengan kejayaan Rizman Ruzaini dan menyifatkan rekaannya itu sudah ‘mendunia’.

Ini kejayaan kali kedua pereka itu kerana sebelum ini, Rizman Ruzaini pernah melabur sebanyak RM3 juta untuk menjalin kolaborasi dengan supermodel, Naomi Campbell pada Minggu Fesyen Dubai, Emeriah Arab Bersatu pada Oktober tahun lalu.

Apa-apa pun baju kontinjen sudah bertukar ‘garang’, kini tiba masa untuk 26 atlet mempamerkan semangat juang tinggi dan kental bersesuaian dengan ciri-ciri dan motif belang Harimau yang ditonjolkan.

Ayuh rakyat Malaysia berikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua anggota kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirai 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah penyunting Sinar Harian

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!