Israel guna taktik penyekat isyarat GPS

Penyekat isyarat GPS itu bertujuan untuk mengganggu komunikasi dan isyarat yang berisiko membahayakan penerbangan awam.
Penyekat isyarat GPS itu bertujuan untuk mengganggu komunikasi dan isyarat yang berisiko membahayakan penerbangan awam.
A
A
A

BEIRUT - Pemandu perkhidmatan Uber, Hussein Khalil sedang berdepan kesesakan lalu lintas di Beirut apabila peta dalam talian menunjukkan lokasinya di Genting Gaza.

“Kami sering menghadapi masalah ini sejak lima bulan lalu hingga mengganggu urusan harian dan menjejaskan pendapatan kami,” katanya.

Pengguna aplikasi peta di Lubnan mendakwa mereka tertekan akibat 'kekeliruan' yang ditimbulkan menerusi data lokasi masing-masing yang dipercayai telah didalangi Israel setelah perang rentas sempadan semakin meningkat.

Pada Mac lalu, Beirut pernah mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tentang 'serangan’ Tel Aviv ke atas kedaulatan negara itu dalam bentuk gangguan penghantaran isyarat sekitar ruang udara di lapangan terbang ibu kota.

Hussein Khalil menunjukkan kedudukannya yang berada di selatan Rafah, Genting Gaza sedangkan dia sebenarnya berada di Beirut menerusi paparan aplikasi Uber.
Hussein Khalil menunjukkan kedudukannya yang berada di selatan Rafah, Genting Gaza sedangkan dia sebenarnya berada di Beirut menerusi paparan aplikasi Uber.

Khalil turut menunjukkan tangkapan layar aplikasi yang menunjukkan lokasinya di bandar Rafah di Gaza yang terletak sejauh kira-kira 300 kilometer dan di timur Lubnan berhampiran sempadan Syria sedangkan kedudukan sebenarnya di Beirut.

“Seorang penumpang pernah menghubungi saya kerana keliru dengan lokasi saya yang tertera pada aplikasi itu. Saya terpaksa menjelaskan kepadanya bahawa saya hanya berada di sekitar ibu kota dan bukan di Baalbek yang terletak di timur Lubnan,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Gangguan isyarat GPS telah menjejaskan urusan harian penduduk di Lubnan.
Gangguan isyarat GPS telah menjejaskan urusan harian penduduk di Lubnan.

Beberapa lagi individu turut mendakwa peta dalam talian mereka menunjukkan lokasi mereka di Lapangan Terbang Beirut meskipun berada di tempat lain.

Sejak perang genosid ke atas Gaza tercetus, Israel sengaja melancarkan penyekat terhadap fungsi Sistem Kedudukan Global (GPS) untuk menyasarkan gerakan Hamas dan sekutu mereka.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memberi alasan gangguan GPS secara proaktif itu kononnya adalah untuk keperluan pelbagai operasi.

Sasar Hizbullah

Laman web yang mengumpulkan data gangguan isyarat geolokasi berdasarkan maklumat pesawat, gpsjam.org melaporkan tahap gangguan tinggi di Lubnan dan beberapa bahagian di Syria, Jordan dan Israel pada 28 Jun lalu.

Gangguan sama pernah dikesan di Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Lubnan.

“Israel menggunakan taktik spoofing ini untuk mengganggu komunikasi pejuang Hizbullah yang berpusat di Beirut. Mereka juga menghantar isyarat palsu GPS untuk menjejaskan fungsi misil bagi mengenai sasaran,” kata penganalisis keselamatan global untuk Asia Barat di firma risikan risiko RANE, Freddy Khoueiry.

Menurutnya, gerakan yang disokong Iran itu mempunyai sejumlah besar simpanan senjata dilengkapi GPS.

Serangan rentas sempadan Beirut-Tel Aviv yang berlarutan hingga kini telah meragut lebih 490 nyawa di Lubnan manakala 26 terbunuh di utara Israel.

Ketika ini, kebimbangan semakin meningkat jika konflik lebih meluas tercetus antara kedua-dua musuh itu yang kali terakhir berperang pada 2006.

Ketua Penerbangan Awam Lubnan, Fadi el-Hassan berkata, mereka telah meminta juruterbang yang terbang masuk atau keluar dari Beirut supaya bergantung kepada navigasi darat.

Difahamkan, navigasi darat biasanya digunakan sebagai sistem sandaran.

“Ketika era teknologi canggih ini, juruterbang tidak dapat menggunakan GPS kerana penyekat dilancarkan musuh kami. Lubnan sentiasa memastikan penyelenggaraan peralatan sistem sandaran tersebut bagi memastikan pendaratan yang selamat,” katanya.

Juruterbang, Avedis Seropian memberitahu GPS tidak lagi digunakan sejak beberapa bulan lalu.

“Kami sudah biasa dengan situasi ini dan tidak lagi bergantung dengan GPS. Kami kembali dengan cara lama iaitu menggunakan kompas dan cetakan peta,” jelasnya.

Tambahnya, ketiadaan GPS walaupun sebagai sistem sandaran sebenarnya agak membingungkan.

“Anda boleh panik secara tiba-tiba apabila berlaku kesilapan pada data geolokasi atau jarak penglihatan yang lemah. Ia berisiko menyebabkan 'bencana' atau kemalangan,” katanya lagi. - AFP

Info

> Israel menggunakan penyekat isyarat GPS di Gaza, Lubnan dan menangkis serangan balas dilancarkan Iran pada 13 April lalu. Tindakan sedemikian boleh mengganggu komunikasi dan senjata berpandu serta membahayakan penerbangan awam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!